Jalur Gemilang
Berita :
Buluh Gading Cadang Penambahbaikan Bantuan Kebakaran TDI
Buluh Gading Cadang Penambahbaikan Bantuan Kebakaran TDI
Ahmad Zaeem Zainudin
14 jam yang lepas
137

KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Negeri dicadangkan supaya menambah baik syarat bantuan bina baharu rumah di bawah Tabung Darul Iman (TDI) bagi memastikan mangsa kebakaran rumah teres dan semi-D turut mendapat peluang bantuan yang sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, syarat sedia ada yang menetapkan penggunaan pelan rumah disediakan kerajaan menimbulkan kesukaran kepada mangsa kebakaran yang memiliki kediaman jenis berkenaan.

"Berdasarkan kepada peruntukan yang ada pada Tabung Darul Iman, terdapat tiga kategori bantuan untuk mangsa kebakaran. 

"Pertama, baik pulih dengan peruntukan maksimum sebanyak RM20,000. Kedua, bantuan tunai 'one-off' maksimum RM25,000 bagi yang 'total loss'. 

"Ketiga, bantuan bina baru bagi kebakaran total loss dengan syarat ada tanah lot sebuah rumah dan pelan binaannya mengikut pelan rumah yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Tambahnya, pemohon perlu mempunyai tanah lot untuk sebuah rumah dan menggunakan pelan binaan yang disediakan kerajaan bagi bantuan bina baharu.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, keadaan itu menyebabkan bantuan bina baharu sukar disalurkan berikutan faktor keluasan dan keadaan tanah rumah teres serta semi-D yang tidak bersesuaian dengan pelan rumah disediakan.

"Isu yang timbul ialah apabila kebakaran berlaku pada rumah teres atau semi-D, maka bantuan bina baru akan ternafi untuk mangsa berkenaan kerana masalah tanah rumah teres dan rumah semi-D tidak sesuai untuk bina baru dengan pelan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan yang hanya sesuai dibina atas tanah lot sebuah rumah," ujarnya.

Sehubungan itu, Ridzuan mencadangkan supaya bantuan bina baharu diberikan dengan lebih fleksibel tanpa terikat kepada syarat penggunaan pelan rumah yang disediakan kerajaan.

"Bagi memastikan berlaku keadilan dan mangsa di rumah berkenaan mempunyai hak yang sama untuk bina baru, maka saya mencadangkan agar diberikan peruntukan yang sama untuk bina baru tanpa terikat dengan syarat penggunaan pelan yang disediakan oleh pihak kerajaan," cadangnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan