lightning-solid
Berita :
Cukai Khas EV Songsang, Jejas Agenda Mobiliti Hijau Negara - Amzad
Cukai Khas EV Songsang, Jejas Agenda Mobiliti Hijau Negara - Amzad
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim menyifatkan cadangan cukai khas ke atas pembelian kenderaan elektrik (EV) sebagai langkah songsang yang boleh menjejaskan agenda mobiliti hijau negara.

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu benar-benar sedang dipertimbangkan kerajaan, ia bercanggah dengan matlamat negara untuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti hijau, mengurangkan pelepasan karbon serta mengurangkan beban subsidi bahan api dalam jangka panjang.

"Sekiranya benar cadangan ini sedang dipertimbangkan, ia merupakan satu pendekatan yang bercanggah dengan matlamat negara untuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti hijau, mengurangkan pelepasan karbon serta mengurangkan beban subsidi bahan api dalam jangka panjang.

"Jangan hukum rakyat yang mahu berubah kepada teknologi lebih lestari," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, setiap pengguna yang beralih daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV akan mengurangkan komitmen subsidi petrol, dengan penjimatan dianggarkan mencecah sekitar RM6,500 setahun bagi setiap pengguna, sekali gus mengangkat EV sebagai aset fiskal kepada negara.

Tambahnya, 10,000 EV baharu berpotensi menjimatkan kerajaan kira-kira RM65 juta setahun, manakala 30,000 EV boleh menjimatkan sekitar RM195 juta setahun dan 60,000 EV pula sekitar RM390 juta setahun.

Oleh yang demikian, tegasnya, pengenalan cukai baharu hanya akan meningkatkan harga EV, mengurangkan permintaan pengguna serta memperlahankan kadar peralihan kepada mobiliti hijau.

"Negara-negara yang berjaya meningkatkan penggunaan EV lazimnya memberikan pelbagai insentif bagi mengurangkan kos pemilikan. 

"Sebaliknya, mengenakan cukai tambahan akan menaikkan harga EV, mengurangkan permintaan pengguna, melambatkan kadar peralihan kepada mobiliti hijau dan akhirnya menyebabkan pelabur swasta kurang berminat membangunkan rangkaian pengecas kerana bilangan pengguna berkembang dengan lebih perlahan," ujarnya.

Ahmad Amzad berkata, kerajaan mempunyai pilihan yang lebih baik untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur pengecasan EV tanpa membebankan pengguna.

Antara cadangan dikemukakannya ialah menggunakan sebahagian penjimatan subsidi petrol bagi membiayai pembangunan infrastruktur pengecasan, menawarkan geran padanan dan insentif kepada syarikat swasta serta menggalakkan pengeluar EV melabur dalam pembangunan ekosistem tempatan.

Beliau turut menggesa kerajaan menolak cadangan cukai khas tersebut dan memastikan dasar EV kekal stabil serta konsisten bagi meningkatkan keyakinan pengguna dan pelabur.

"Kerajaan sepatutnya menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada EV, bukannya memperkenalkan dasar yang menyebabkan kos pemilikan semakin mahal. 

"Malaysia memerlukan dasar yang mempercepatkan transformasi mobiliti hijau, bukan dasar yang memperlahankannya," tegasnya.


Artikel Berkaitan