KUALA TERENGGANU, 10 September – Pengusaha bot dan pemain industri pelancongan dari Pulau Perhentian yang mahu membawa penumpang ke Pulau Redang perlu memenuhi syarat lesen serta keperluan teknikal ditetapkan Jabatan Laut Malaysia, termasuk memiliki Perakuan Kekompetenan (CoC) Mualim Pelayaran Domestik (Mate Domestic Open/MDO).
Berdasarkan penjelasan Jabatan Laut, sebelum ini terdapat pengusaha bot dari Pulau Perhentian yang membawa penumpang ke Pulau Redang, namun syarat operasi antara kedua-dua pulau berkenaan mengalami perubahan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Menurut jabatan itu, kira-kira tiga hingga empat tahun lalu, nakhoda bot yang beroperasi antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang perlu mempunyai CoC MDO, sedangkan kebanyakan pengusaha ketika itu hanya memiliki CoC Mualim Domestik Terhad (Mate Domestic Restricted/MDR).
“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Jabatan Laut telah mewajibkan nakhoda mempunyai CoC MDO untuk mengendalikan bot lesen.
“Pada masa sama, keperluan teknikal turut dinaik taraf bagi memastikan hanya bot yang memenuhi aspek keselamatan dan keselesaan dibenarkan menjalankan operasi antara pulau tersebut,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Isu berkenaan turut dibangkitkan dalam sesi Dialog Komuniti Pulau Redang baru-baru ini susulan kekeliruan dalam kalangan pengusaha mengenai keperluan operasi bot antara kedua-dua pulau berkenaan.
Jabatan Laut menjelaskan, bot biasa yang tidak mempunyai kabin hanya dibenarkan beroperasi di sekitar pulau sebagaimana dinyatakan dalam lesen.
Perkara itu telah dimaklumkan kepada pengusaha, antaranya menerusi pegawai pemeriksa bot yang dilantik Jabatan Laut.
Bagaimanapun, jabatan berkenaan mengakui kemungkinan penjelasan yang diberikan sebelum ini masih belum mencukupi dan bersedia mengadakan sesi dialog semula sekiranya pengusaha memerlukan penjelasan lanjut.
Dalam pada itu, Jabatan Laut mengingatkan pengusaha supaya mematuhi kawasan pelayaran sebagaimana dinyatakan dalam lesen masing-masing.
Pengusaha yang mengendalikan bot di luar kawasan pelayaran yang ditetapkan dalam lesen boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.
Menerusi pindaan 2017, iaitu Akta A1551 yang berkuat kuasa pada 1 September 2026, kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.