BESUT, 13 September – Dua wanita meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah kolam ternakan ikan di Pantai Air Tawar, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.40 petang selepas kedua-dua mangsa ditemui tidak sedarkan diri di kawasan kolam berkenaan.
Menurutnya, mangsa masing-masing berusia 49 dan 27 tahun disyaki terkena renjatan elektrik ketika berada di kawasan tersebut.
“Pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Besut bagi tujuan bedah siasat.
Tambahnya, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut hadir ke lokasi kejadian bagi membantu pemeriksaan berkaitan insiden berkenaan.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rozaime menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian tersebut.