BESUT, 13 SEPTEMBER – Program Funwalk Merdeka Lestari DUN Jerteh menjadi platform menyemai budaya sihat dalam kalangan masyarakat di samping mengukuhkan ukhuwah dan hubungan sesama warga tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan berkata, penganjuran aktiviti fizikal berkonsepkan kekeluargaan itu penting dalam membina komuniti yang sejahtera dan prihatin terhadap kesihatan.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sekadar memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah, malah menjadi medium mendidik mereka agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.
"Program yang kita anjurkan hari ini adalah untuk membentuk satu keluarga yang mengutamakan kesihatan, dalam masa yang sama dapat merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.
"Ia juga berperan mendidik masyarakat untuk sentiasa menjaga kesihatan dan memupuk minat terhadap aktiviti luar," katanya ketika ditemui pada program berkenaan, semalam.

Para peserta turut berpeluang menikmati keindahan pemandangan sawah padi menghijau serta udara segar suasana kampung.
Bagi menyemarakkan lagi perjalanan peserta, penganjur menyediakan tiga hentian khas yang menyajikan kuih-muih tempatan, minuman segar, dan pelbagai hidangan buah-buahan di garisan akhir.

Kemuncak program diserikan dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, termasuk hadiah utama berupa sebuah motosikal skuter dan Gold Bar.
Penganjuran program ini mendapat kerjasama penuh daripada Balai Polis Jerteh, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Klinik Imani, serta pihak pengurusan Masjid An-Nur Pulau Panjang bersama barisan urusetia dan sukarelawan tempatan.
