lightning-solid
Berita :
Gagar Udang Jadi Produk Pelancongan Ikonik, Kemaman Sedia Sambut TMT 2027
Gagar Udang Jadi Produk Pelancongan Ikonik, Kemaman Sedia Sambut TMT 2027
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
18 jam yang lepas
138

KEMAMAN, 26 Julai – Penganjuran Pesta Gagar Udang 3.0 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti dan warisan tempatan, sekali gus mengangkat Kemaman sebagai antara destinasi pelancongan utama di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program seperti Pesta Gagar Udang bukan sahaja memelihara identiti budaya masyarakat setempat, malah memberi limpahan manfaat ekonomi kepada komuniti melalui aktiviti pelancongan.

"Penganjuran Pesta Gagar Udang mencerminkan komitmen masyarakat dalam memelihara warisan dan tradisi tempatan. 

"Program seperti ini akan terus diperkasakan sebagai produk pelancongan komuniti yang mampu menarik lebih ramai pelancong serta memperkukuhkan kedudukan Kemaman menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media ketika merasmikan Pesta Gagar Udang 3.0 di Dataran Ayah Sor, Bukit Mentok Kemaman, semalam.

Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kemaman, Pegawai Daerah Kemaman, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, ketua-ketua komuniti serta penduduk setempat.

Program yang berlangsung selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik berteraskan budaya dan komuniti antaranya pertandingan menggagau udang, jualan produk tempatan, pameran agensi, demonstrasi makanan tradisional, serta persembahan kebudayaan yang berjaya menarik kehadiran penduduk setempat dan pengunjung dari luar daerah.

Razali turut memaklumkan bahawa Terengganu terus mencatat perkembangan positif dalam sektor pelancongan apabila menerima 15.46 juta pelawat domestik pada tahun 2025.

"Sehingga Jun 2026 negeri ini diunjurkan menerima sekitar 6.5 juta pelancong dan pengunjung dengan anggaran penjanaan ekonomi antara RM1.4 hingga RM1.5 bilion," tambahnya.


Tag :

Artikel Berkaitan