Jalur Gemilang
Berita :
Golongan Rentan Tanpa Penjaga Perlu Penempatan Khas
Golongan Rentan Tanpa Penjaga Perlu Penempatan Khas
Rohayati Ripin
14 jam yang lepas
141

KUALA TERENGGANU, 17 November -  Kerajaan Negeri disaran menyediakan kemudahan penempatan dan penjagaan khusus bagi golongan rentan yang tidak mempunyai waris atau penjaga selepas dibenarkan keluar hospital.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius khususnya membabitkan pesakit kronik, pesakit penyakit berjangkit, warga emas memerlukan penjagaan berterusan dan individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

Menurutnya, persoalan utama yang perlu ditangani ialah ke mana golongan berkenaan akan ditempatkan selepas keluar hospital dan siapa yang akan menguruskan keperluan serta penjagaan mereka.

“Walaupun Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan premis perlindungan dan penjagaan, kapasiti yang ada masih terhad berbanding permintaan yang tinggi sehingga menyebabkan senarai menunggu yang panjang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri meneliti keperluan menyediakan kemudahan penempatan dan penjagaan khusus bagi memastikan golongan tersebut tidak terabai tanpa tempat bergantung dan perlindungan yang sewajarnya.

Zuraida menambah, isu berkenaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda menyejahterakan kehidupan rakyat, khususnya dalam memastikan golongan yang paling memerlukan mendapat perlindungan berterusan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut membangkitkan isu individu yang masih mempunyai tempat tinggal tetapi memilih atau terpaksa bermalam di kawasan awam.

Katanya, isu gelandangan tidak semestinya berpunca daripada ketiadaan tempat tinggal, sebaliknya boleh berkait dengan keretakan hubungan kekeluargaan, pengabaian, tekanan hidup, masalah kesihatan mental atau faktor sosial lain.

“Pendekatan menangani isu ini tidak seharusnya sekadar memindahkan mereka dari satu lokasi ke lokasi lain, sebaliknya perlu mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan mereka berada dalam keadaan tersebut.

“Intervensi lebih menyeluruh perlu dilaksanakan mengikut keperluan individu dengan matlamat membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih teratur, selamat dan bermaruah,” tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan