lightning-solid
Berita :
Hampir 5,000 Halaman Manuskrip Melayu-Islam Didigitalkan
Hampir 5,000 Halaman Manuskrip Melayu-Islam Didigitalkan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Hampir 5,000 halaman manuskrip Melayu berkaitan Terengganu dan Islam berjaya didigitalkan menerusi ekspedisi di tiga wilayah selatan Thailand, baru-baru ini.

Ekspedisi jejak dan pendigitalan manuskrip yang berlangsung dari 26 hingga 30 Julai 2026 itu dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan empat agensi berkaitan.

Usaha tersebut bertujuan menyelamatkan khazanah ilmu dan warisan Melayu-Islam yang semakin terdedah kepada kerosakan serta kehilangan.

Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, berkata pendigitalan itu bukan bertujuan mengambil hak milik mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan kandungan manuskrip lama terus dipelihara dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Menurutnya, manuskrip bukan sekadar helaian tulisan lama, malah menjadi bukti sejarah yang merakam pemikiran ulama, kehidupan masyarakat, budaya dan perkembangan tamadun Melayu-Islam sejak ratusan tahun lalu.

“Setiap helaian yang dirakam membawa kisah dan ilmu yang sangat bernilai. Pendigitalan ini adalah usaha menyelamatkan warisan agar tidak hilang ditelan zaman.

“Manuskrip tidak hilang dalam sehari, sebaliknya lenyap sedikit demi sedikit apabila tidak dijaga, rosak akibat kelembapan, dimakan anai-anai atau tersimpan tanpa diketahui kewujudannya,” katanya.

Ekspedisi berkenaan melibatkan kunjungan ke beberapa lokasi penting di Narathiwat, Yala dan Pattani.

Antaranya Maahad Tahfiz Selar Anak Ayam yang menempatkan Muzium Al-Quran Melayu Raya di Narathiwat, EL-KHALIL ISLAM YALA, Rumah Haji Sulong (Pusat Pengajian dan Muzium Ahli Falsafah Tempatan), serta Masjid Wadil Hussein di Teluk Manok.

Antara naskhah yang berjaya didigitalkan di Maahad Tahfiz Selar Anak Ayam ialah Kitab al-'Aqidah Syarah Kalimah Syahadah, Kitab Cara dan Ramuan Bisa pada Bilah Keris serta Manuskrip al-Quran Terengganu.

Turut direkodkan ialah Kitab Nikah (Pelbagai) Jilid I dan Kitab Tasawuf Sifat Mahmudah di EL-KHALIL ISLAM YALA.

Di Rumah Haji Sulong pula, pasukan ekspedisi mendigitalkan Gugusan Cahaya Keselamatan serta Fatwa Mu'tamat Mazhab Syafi'i.

Mohd Iskandar berkata manuskrip berkenaan merupakan khazanah bersama yang mempunyai nilai sejarah tinggi dan tidak seharusnya dilihat sebagai milik peribadi semata-mata.

“Warisan tidak dinilai berdasarkan harga, tetapi berdasarkan nilainya kepada sejarah.

“Jika manuskrip ini hilang, kita bukan sahaja kehilangan naskhah lama, malah kehilangan bukti tentang asal-usul, identiti dan perkembangan tamadun masyarakat kita,” katanya.

Beliau berharap kejayaan ekspedisi itu dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk bekerjasama mengenal pasti, memelihara dan menyelamatkan manuskrip lama yang masih tersimpan dalam koleksi keluarga atau institusi tertentu.

“Sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Manuskrip yang berjaya dipelihara hari ini akan terus hidup, bercerita dan menjadi saksi kepada anak cucu kita pada masa hadapan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan