Berita :
Hedonisme Berselindung di Sebalik Festival, Kerajaan Diminta Tegas
Hedonisme Berselindung di Sebalik Festival, Kerajaan Diminta Tegas
Rohayati Ripin
5 jam yang lepas
113

KUALA TERENGGANU, 21 April – Kerajaan negeri disaran mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani penularan budaya hedonisme dan gejala sosial yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Dalam perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, isu itu dibangkitkan dengan penegasan bahawa usaha menjaga anak muda sebagai pewaris negeri perlu terus diberi keutamaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohamad Nor, generasi muda perlu dipelihara dengan melindungi akal serta membina kekuatan intelektual mereka daripada pengaruh negatif yang semakin mencabar.

Beliau berkata, budaya hedonisme dan budaya kuning kini dilihat berselindung di sebalik penganjuran festival makanan, ‘Vintage Karnival’ serta pelbagai pesta yang semakin galak dianjurkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar penguatkuasaan Enakmen Kawalan Hiburan terus diperkasakan bagi memastikan setiap penganjuran program tidak melanggar nilai agama dan budaya negeri.

“Kerajaan Terengganu mestilah tegas dalam menguatkuasakan Enakmen Kawalan Hiburan. Gejala penagihan dadah merupakan antara isu besar yang mencalarkan imej negeri yang dikenali sebagai jantung hati orang Melayu ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan kes penagihan dadah yang disifatkan sebagai antara isu serius yang menjejaskan imej Terengganu sebagai negeri beridentiti Melayu Islam.

Beliau turut mengingatkan agar kemasukan artis luar dan penganjuran program hiburan tidak menjadi faktor yang menyuburkan budaya 'seronok santai' sehingga menjejaskan imej negeri sebagai Maju, Berkat, Sejahtera.

Tambah beliau, usaha membanteras kemiskinan moral memerlukan komitmen bersepadu antara kerajaan dan masyarakat, termasuk memperkukuh integriti, memperhebat kempen anti dadah dan memperkasakan peranan komuniti dalam membina persekitaran sosial yang sihat.

“Pastikan Terengganu yang indah ini bebas daripada budaya hedonisme, ‘sensate culture’ serta cara hidup bohemian yang boleh meruntuhkan jati diri Muslim.

“Insya-Allah, dengan iltizam kerajaan dan rakyat, kita mampu membasmi kemiskinan moral sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Kemapanan integriti juga merupakan faktor utama dalam menjayakan kempen membanteras dadah, hedonisme dan kebobrokan sosial. Ia memerlukan iltizam politik yang serius untuk merealisasikan cita-cita ini,” katanya


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan