lightning-solid
Berita :
Ihsan Food Bank Bantu Ringankan Beban Pelajar
Ihsan Food Bank Bantu Ringankan Beban Pelajar
Noraini Jusoh
1 hari yang lepas
49

KUALA NERUS, 28 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu hari ini menyalurkan sumbangan di bawah Program Ihsan Food Bank (i-FB) kepada tiga institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar.

Pengarah KPDN Negeri Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, program yang dahulunya dikenali sebagai Program Food Bank Malaysia (PFBM) dijenamakan semula kepada Program Ihsan Food Bank (i-FB) bermula tahun ini dengan mengetengahkan elemen 3S iaitu Santuni Komuniti, Selamatkan Makanan dan Sayangi Alam.

Katanya, sumbangan disampaikan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan University College Bestari (UCB) hasil kerjasama strategik bersama Dutch Lady Milk Industries Berhad yang menyumbangkan 203 karton susu.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 82 karton merupakan susu UHT satu liter manakala 121 karton lagi ialah susu kotak 200 mililiter. 

“Sebanyak 73 karton diagihkan kepada UniSZA, manakala UMT dan UCB masing-masing menerima 65 karton untuk dimanfaatkan oleh pelajar yang berdaftar sebagai penerima bantuan Food Bank Siswa,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, KPDN Terengganu turut menerima sumbangan makanan kering seperti biskut dan makanan segera daripada Maimun Mohd Trading yang juga merupakan operator Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Jelas beliau, pelaksanaan inisiatif Ihsan Food Bank bertujuan membantu golongan sasar mendapatkan bekalan makanan yang selamat dan berkualiti, di samping mengurangkan pembaziran makanan serta memperkukuh kebajikan komuniti melalui kerjasama antara kerajaan, sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Strategik Utama (RSU).

“Sehingga kini, pelaksanaan i-FB di seluruh negara disokong oleh 48 penyumbang daripada syarikat korporat dan NGO serta sembilan RSU.

“Di Terengganu, antara rakan strategik utama program ialah Primula Beach Hotel, Paya Bunga Hotel, Permai Hotel, Pasaraya Xiri, Sabasun HyperRuncit, Pantai Timor Shopping Center, Pasaraya LYC, BS Freshmart dan Supermas,” ujarnya.

Tambahnya, selain pelajar di tiga IPT berkenaan, manfaat program ini turut diperluaskan kepada pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Mizan, Politeknik Besut, Politeknik Hulu Terengganu, Politeknik Kuala Terengganu serta komuniti setempat termasuk anak yatim dan golongan istimewa

“KPDN Terengganu berharap kerjasama berterusan daripada pihak industri, NGO dan komuniti dapat memperkukuhkan pelaksanaan Program Ihsan Food Bank sekali gus membantu lebih ramai golongan memerlukan, mengurangkan pembaziran makanan serta menyemarakkan budaya tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan masyarakat,”katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan