HULU TERENGGANU, 8 November – Kerja-kerja pemasangan Jambatan Bailey di FT247, Seksyen 11.60, berhampiran Jambatan Sungai Kepah, Jalan Kuala Berang–Sungai Tong dijangka siap dalam tempoh lima hari dan boleh digunakan mulai 15 November ini (Ahad).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, pemasangan jambatan tersebut melibatkan kos sebanyak RM380,000 dengan menggunakan aset pinjaman daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Temerloh bagi tempoh dua tahun.
Katanya, kerja-kerja pemasangan itu melibatkan seramai 40 orang tenaga kerja yang terdiri daripada petugas JKR Temerloh dan JKR Negeri Terengganu, termasuk dua orang wakil JKR Ibu Pejabat dari Kuala Lumpur.
"Jambatan Bailey Bridge ini mempunyai ukuran 70 kaki panjang dan 35 kaki lebar, dengan aras jambatan dinaikkan sebanyak empat kaki bagi mengurangkan risiko terjejas akibat banjir," katanya.
Beliau berkata, penyediaan jambatan sementara itu merupakan langkah penting bagi memastikan kelancaran perhubungan dan memudahkan urusan penduduk serta pengguna jalan raya di laluan berkenaan.

Dalam pada itu, bagi penyelesaian jangka panjang, pihak berkaitan akan mengemukakan permohonan peruntukan bagi pembinaan sebuah jambatan baharu yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM20 juta, termasuk kerja-kerja pengalihan utiliti.
Dr. Mamad turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah JKR Negeri Terengganu, Ir. Dr. Hasli Ibrahim serta Jurutera Daerah JKR Hulu Terengganu, Ir. Mohd Khairie Hasan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.
Beliau juga menghargai usaha seluruh petugas JKR Negeri Terengganu, JKR Hulu Terengganu, JKR Temerloh, JKR Ibu Pejabat serta pasukan Roadcare yang bertungkus-lumus menjayakan pemasangan jambatan berkenaan.
Usaha tersebut diharap dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat serta memastikan perhubungan antara Kuala Berang dan Sungai Tong kembali berjalan dengan lebih lancar.