MARANG, 4 Oktober – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu mengeluarkan tujuh kompaun terhadap individu yang melakukan pembakaran terbuka di seluruh negeri dengan jumlah denda RM10,800 sepanjang Januari hingga September 2026.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato Razali Idris, tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan pembukaan satu kertas siasatan terhadap kes pembakaran terbuka sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak berkompromi terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara dan risiko kebakaran, khususnya ketika keadaan jerebu.
“Pembakaran-pembakaran memang kita tidak benarkan. Sekarang ini, siapa yang melakukan pembakaran di luar, tindakan akan diambil oleh Jabatan Alam Sekitar.
“Kompaun akan diberi maksimum,” jelasnya.

Tambahnya, kadar kompaun maksimum bagi kesalahan pembakaran terbuka adalah RM2,000, selain JAS terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan JAS dalam menentukan tindakan berkaitan aktiviti luar.
Katanya, sekiranya bacaan IPU meningkat ke tahap yang tidak selamat, aktiviti luar terutama melibatkan pelajar akan dihentikan berdasarkan arahan dan nasihat JAS.
“Kerajaan negeri memang berpandukan kepada Jabatan Alam Sekitar dalam bab IPU ini. Kalau JAS melaporkan bacaan tinggi, kerajaan akan buat arahan supaya aktiviti outdoor, terutama pelajar, dihentikan,” ujarnya.
Razali berkata, kerjasama semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus dipelihara tanpa perlu bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata.
“Kita sebenarnya tidak mahu kompaun orang, tetapi kalau pembakaran terbuka berlaku, kita terpaksa ambil tindakan,” tambah Razali.