KUALA TERENGGANU, 6 November – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu menyasarkan perbezaan antara ramalan paras air sungai dengan bacaan sebenar ketika banjir kurang daripada 0.5 meter bagi meningkatkan ketepatan sistem amaran awal kepada penduduk.
Sasaran itu dilaksanakan menerusi penggunaan Sistem Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang berupaya meramalkan kejadian banjir monsun sehingga tujuh hari lebih awal, manakala hebahan amaran boleh dibuat sehingga dua hari sebelum kejadian, tertakluk kepada keadaan dan data meteorologi.
Pengarah JPS Terengganu Ir. Ts. Gs. Osman bin Abdullah berkata, ketepatan ramalan dinilai melalui perbandingan antara hasil model hidrologi dengan keadaan sebenar di lapangan, khususnya melibatkan perubahan paras air dan masa sungai mencapai tahap amaran atau bahaya.
Menurutnya, pemantauan turut memberi tumpuan kepada enam sungai utama di negeri ini iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Paka dan Sungai Kemaman.
"Penilaian dibuat berdasarkan ketepatan masa kenaikan paras air, paras air yang diramalkan berbanding bacaan sebenar serta tempoh antara amaran awal dikeluarkan dengan kejadian banjir.
"Rekod hujan, paras air sungai, kawasan yang dinaiki air dan laporan kejadian turut dianalisis selepas banjir bagi mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik," jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, sekiranya keadaan sebenar di lapangan berubah daripada ramalan awal, JPS akan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap intensiti hujan dan paras air sungai sebelum menyemak semula ramalan menggunakan simulasi model terkini.
Katanya, pengesahan turut dilakukan menerusi stesen hidrologi, kamera litar tertutup (CCTV) serta maklumat pegawai JPS di lapangan bagi memastikan perkembangan semasa dapat dikenal pasti.
"Sebarang perubahan risiko akan dimaklumkan kepada agensi pengurusan bencana dan orang awam melalui saluran rasmi supaya tindakan keselamatan dapat diselaraskan berdasarkan keadaan terkini," ujarnya.
Beliau menambah, analisis selepas kejadian juga dilaksanakan bagi mengenal pasti punca perbezaan antara ramalan dengan keadaan sebenar seterusnya menambah baik model ramalan dan sistem pemantauan banjir.