KUALA TERENGGANU, 18 November – Kadar wakalah zakat dicadangkan dinaikkan daripada 25 kepada 50 peratus bagi pembayar yang menunaikan zakat sekurang-kurangnya RM30,000 setahun.
Cadangan itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Belanjawan Terengganu 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Menurut beliau, penambahbaikan kadar berkenaan mampu membuka ruang lebih luas kepada pembayar zakat untuk membantu golongan asnaf yang layak khususnya dalam komuniti masing-masing.
"Dasar wakalah zakat membolehkan pembayar zakat, sama ada individu, syarikat atau organisasi, dilantik sebagai wakil untuk menyalurkan sendiri sebahagian daripada zakat yang telah dibayar kepada golongan asnaf yang layak tertakluk kepada ketetapan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Langkah ini bukan sahaja menggalakkan lebih ramai pembayar zakat menunaikan kewajipan mereka melalui saluran rasmi, malah mendekatkan mereka dengan golongan asnaf di sekeliling mereka," jelasnya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh pendekatan berkenaan juga selari dengan komitmen memperkasakan institusi agama dan meningkatkan kesejahteraan asnaf di Terengganu.