Jalur Gemilang
Berita :
Kaedah Berbeza Punca Angka Kemiskinan Terengganu Tidak Sama
Kaedah Berbeza Punca Angka Kemiskinan Terengganu Tidak Sama
Mastura Jamal Din
14 jam yang lepas
141

KUALA TERENGGANU, 17 November - Perbezaan kaedah pengiraan dan kriteria penilaian antara agensi dikenal pasti menjadi punca jurang angka kemiskinan dan miskin tegar di Terengganu, dengan data Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) merekodkan 952 penduduk miskin tegar berbanding sifar berdasarkan data Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata perbezaan itu berlaku kerana ICU menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), manakala MAIDAM menggunakan kaedah had kifayah yang turut mengambil kira keperluan dan tanggungan isi rumah.

"Bagi kategori miskin, ICU merekodkan 21,800 orang berbanding 28,168 orang berdasarkan pengiraan MAIDAM.

"Penilaian ICU dibuat berdasarkan pendapatan isi rumah tanpa mengambil kira harta dimiliki atau jumlah perbelanjaan keluarga, manakala MAIDAM menilai aspek lebih menyeluruh termasuk bilangan tanggungan, anak yang masih bersekolah, pendapatan ahli keluarga dan perbelanjaan isi rumah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet), di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Maliaman berkata ICU, MAIDAM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan keseluruhan RM321.4 juta kepada golongan memerlukan di negeri itu.

Daripada jumlah berkenaan, MAIDAM menyalurkan RM130 juta kepada 70,460 penerima, manakala JKM membelanjakan RM138.6 juta untuk 41,474 penerima.

ICU pula merekodkan 10,061 penerima manfaat menerusi data eKasih dengan jumlah bantuan RM52.7 juta.

Beliau berkata pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi membantu golongan sasar meningkatkan taraf hidup, merangkumi aspek peningkatan pendapatan, perumahan, kebajikan dan pendidikan.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan