lightning-solid
Berita :
Karnival Semarak Jawi Angkat Warisan Bangsa
Karnival Semarak Jawi Angkat Warisan Bangsa
Noraini Jusoh
6 jam yang lepas
127

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Tulisan Jawi sebagai warisan bangsa dan khazanah tamadun perlu terus dipelihara, dipelajari serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslina Abdul Hamid berkata, tulisan Jawi mempunyai kedudukan penting dalam sejarah negara, khususnya sebagai medium penyebaran ilmu, pentadbiran, persuratan dan perkembangan tamadun Melayu sejak sekian lama.

Menurutnya, Karnival Semarak Jawi 2026 menjadi antara platform penting untuk menyemarakkan kecintaan terhadap ilmu, selain mengangkat martabat tulisan berkenaan.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan warisan ini terus dipelihara, dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 di Dewan Ilmuwan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham; Pengerusi PPAT merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Edy Irwan Zulkafli dan Pengarah PPAT, Nuzulnisa Barudin@Kamarudin.

Haslina berkata, penganjuran Karnival Semarak Jawi di Terengganu pada tahun ini merupakan edisi kali ke-11.

Katanya, penganjuran itu membuktikan komitmen berterusan Perpustakaan Negara Malaysia dalam memastikan tulisan Jawi terus dipelihara, dipelajari, dimasyarakatkan dan disesuaikan dengan pendekatan pendidikan semasa.

Beliau turut tertarik dengan pendekatan didik hibur yang digunakan menerusi aktiviti seperti Si Cilik Cerdas Jawi, Bengkel Klinik Dr. Jawi, Pencak Aksara Jawi, Kahoot Jawi Challenge, pertandingan mewarna Jawi serta pameran khat.

“Aktiviti ini bukan sahaja membina kemahiran, malah menjadikan pembelajaran Jawi lebih menyeronokkan, interaktif dan mesra semua peringkat usia,” katanya.

Menurut beliau, usaha memartabatkan Jawi dan ilmu mempunyai makna yang sangat besar di Terengganu kerana negeri itu memiliki sejarah keilmuan yang hebat.

Katanya, ketokohan ulama seperti Tok Pulau Manis turut diketengahkan menerusi wacana khas dalam program tersebut.

“Ini membuktikan bahawa warisan bukan sesuatu yang jauh daripada kehidupan kita, sebaliknya harus terus dihidupkan melalui ilmu, penceritaan, pendokumentasian dan penghayatan generasi muda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Karnival Buku dan Semarak Jawi 2026 yang berlangsung bermula Sabtu hingga 1 Ogos ini menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Haslina berkata, program itu bukan sekadar pesta jualan buku, sebaliknya menjadi platform komuniti yang menghimpunkan ilmu, budaya, seni, warisan, pendidikan dan khidmat masyarakat dalam suasana terbuka, santai serta inklusif.

“Buku tidak harus dilihat sebagai bahan yang eksklusif atau terbatas kepada ruang formal semata-mata. Buku perlu hadir dalam kehidupan seharian sama ada di rumah, sekolah, perpustakaan, kafe, ruang awam mahupun platform digital,” katanya.

Menurutnya, pengisian merentas minat termasuk pameran dan jualan buku serta sesi bersama penulis mampu menjadikan buku lebih dekat, hidup dan bermakna kepada masyarakat.

Beliau berkata, penglibatan penerbit, penjual buku, penulis dan penggiat industri perbukuan juga mampu melahirkan lebih banyak karya bermutu, memperluas pasaran penulis tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi kreatif negara.

Katanya, karnival berkenaan turut menyediakan ruang kepada masyarakat mendapatkan bahan bacaan berkualiti, menambah koleksi serta memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, keluarga dan komuniti setempat.


Tag :

Artikel Berkaitan