lightning-solid
Berita :
Kejohanan Piala MB Akan Diperhalusi Untuk Penganjuran Lebih Baik Musim Depan
Kejohanan Piala MB Akan Diperhalusi Untuk Penganjuran Lebih Baik Musim Depan
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
517

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kerajaan Negeri akan mengadakan sesi post mortem secara menyeluruh melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi menambah baik mutu penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala YAB Menteri Besar Terengganu pada musim akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, walaupun kejohanan edisi 2025/2026 berjalan lancar secara keseluruhannya, beberapa penambahbaikan yang dikenal pasti akan diperhalusi menerusi sesi penilaian selepas kejohanan.

"InsyaAllah untuk penganjuran pada musim yang akan datang, kita akan cuba untuk mengemaskan lagi pelaksanaan dalam pelbagai aspek.

"Saya akan minta supaya urus setia dapat mengadakan satu post mortem dan termasuk kita juga akan melibatkan penglibatan sepenuhnya pihak PBSNT sebagai badan yang menaungi aktiviti bola sepak dalam Negeri Terengganu supaya sebarang kelemahan dan peningkatan kualiti dapat dibuat secara bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan akhir kejohanan tersebut di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, hari ini.

Di samping itu, Hishamuddin turut memuji kualiti keseluruhan aksi perlawanan akhir yang dipamerkan oleh Kuala Nerus serta Besut pada petang tadi.

"Kita merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Kuala Nerus yang diwakili oleh BTR FC.

"Begitu juga tidak terkecuali kepada naib juara iaitu pasukan daripada Besut yang telah menunjukkan mutu dan kualiti.

"Pertandingan yang sangat membanggakan," ujarnya ketika mengulas prestasi yang dispersembahkan oleh dua finalis tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, pihak penganjur akan terus komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah disarankan.

"InsyaAllah peringkat yang seterusnya, kita akan terus untuk memperbaiki lagi untuk perjalanan kejohanan kita dan seperti yang telah disebut dan diharapkan oleh pihak Yang Berhormat Exco dan pihak Pejabat Menteri Besar sendiri.

"Kita akan terus buat post mortem selepas pada ini dan melihatlah isu-isu sama ada isu kecil ataupun isu besar yang kita boleh terus selesaikan bersama," katanya.

Beliau menjelaskan, antara aspek utama yang akan diberi perhatian ialah penyusunan semula jadual pertandingan supaya tidak bertembung dengan kejohanan lain.

"Setakat ini kalau pada pandangan kami sebagai urus setia, timeline lah. Timeline tu sebab Terengganu ni sebenarnya aktif di peringkat kejohanan-kejohanan bola sepak

"Jadi kita nak melihat timeline untuk kita celah pada masa yang terbaik supaya mereka yang menyertai kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu ini mereka bersedia dari sudut fizikal dan mental dengan sebaiknya," jelasnya.

Walau bagaimanapun, tegasnya, keadaan itu merupakan cabaran yang perlu dihadapi pemain dalam membahagikan komitmen mereka dengan baik antara beberapa kejohanan.

Terdahulu, Kuala Nerus muncul sebagai juara kejohanan pada siri kali ini apabila berjaya menewaskan Besut 2-1 pada lima minit akhir perlawanan.


Artikel Berkaitan