HULU TERENGGANU, 12 November – Kompleks kuarters kerajaan bernilai RM20 juta di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir yang sekian lama terbengkalai kini diberi nafas baharu selepas siap diubah suai menjadi kampus cawangan Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dengan kos RM5.9 juta.
Kompleks yang asalnya dibangunkan bagi menempatkan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu tidak digunakan sepenuhnya susulan pelaksanaan projek Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir yang tidak mencapai perancangan asal.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), pembinaan kuarters berkenaan bermula pada Februari 2013 dengan perbelanjaan sebenar sebanyak RM19.8 juta daripada peruntukan RM20 juta.
Keseluruhan projek pembangunan kompleks dan kuarters Kastam di Pengkalan Gawi pula melibatkan peruntukan sebanyak RM37.78 juta.
Kompleks kuarters yang dibangunkan di kawasan seluas 25 ekar itu mempunyai 82 unit kediaman serta kemudahan dewan dan surau.

Kini, selepas melalui proses pengubahsuaian dan naik taraf, kompleks tersebut bakal menjadi kampus cawangan KQT, sekali gus membantu menyelesaikan masalah kekurangan kemudahan pembelajaran dan penginapan pelajar di kampus sedia ada di Padang Midin.
Ketua Eksekutif KQT, Prof. Madya Dr Wan Mat Sulaiman berkata, pembukaan kampus baharu itu amat diperlukan memandangkan kapasiti asrama sedia ada tidak mampu menampung jumlah pelajar.
"Di sana (Padang Midin), asrama untuk Kolej Quran Terengganu hanyalah ada 64 katil sahaja dan kita ada pelajar dalam 260 orang.
"Jadi mudah-mudahan kampus ini menjadi penyelesaian kepada kekangan yang kita ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Cadangan Pengubahsuaian Kuarters Kakitangan Kerajaan Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir sebagai Kampus KQT, di sini, semalam.

Kerja-kerja berkenaan melibatkan pengubahsuaian dan naik taraf empat blok asrama, masing-masing dua untuk pelajar lelaki dan perempuan.
Turut dinaik taraf ialah Blok Akademik dan Hal Ehwal Pelajar (A2), Blok Perpustakaan (A3), dua blok pentadbiran (D1 dan D2), Dewan Besar serta surau.
Projek itu turut merangkumi kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bagi memastikan kemudahan kampus berada dalam keadaan selamat serta memenuhi keperluan operasi kolej.
Dalam majlis tersebut, penyerahan projek disempurnakan Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu, Ir. Mohd Khairie Hasan kepada Penolong Kanan Pengarah (Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi) Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN), Mohd Firdaus Ibrahim.
Majlis menandatangani dokumen penyerahan turut disaksikan Jurutera Awam Kanan (Bangunan) JKR Negeri Terengganu, Nur Fahmi Md Saad serta Pengarah Urusan Tasland Corporation Sdn Bhd, Zakaria Ariffin selaku wakil kontraktor projek.

"Kita harap, insya-Allah dapat sokongan daripada semua pihaklah untuk KQT melangkah lebih jauh.
"Kita masih lagi berada di awal proses," katanya.
Pemulihan kompleks berkenaan sekali gus membolehkan aset kerajaan yang sebelum ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya digunakan untuk pembangunan pendidikan, khususnya dalam memperkukuh pengajian al-Quran di Terengganu.