KUALA TERENGGANU, 13 September – Majlis Daerah Marang (MDM) mencatat pencapaian membanggakan apabila berada di kedudukan ketujuh daripada 23 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kategori daerah di Malaysia dalam Sistem Star Rating (SSR) PBT 2026.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga PBT negeri itu atas pencapaian berkenaan.
"Setinggi-tinggi tahniah kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM) atas kejayaan mengekalkan penarafan lima Bintang dalam penilaian Sistem Star Rating (SSR) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun ini.
"Dalam penilaian yang mengkategorikan PBT kepada tiga kategori iaitu Bandaraya, Perbandaran dan Daerah, MPD berjaya menduduki tempat ke-11 daripada 42 PBT kategori Perbandaran yang menerima penarafan 5 Bintang. MDM pula berada di tempat ke-7 daripada 92 PBT kategori Daerah yang turut menerima penarafan 5 Bintang," jelasnya dalam laman sosial rasmi, hari ini.
Menurutnya, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan warga PBT dalam memastikan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan berintegriti.
'Syabas dan tahniah kepada seluruh warga MPD dan MDM. Semoga pencapaian ini menjadi dorongan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menerajui kecemerlangan pentadbiran PBT Negeri Terengganu," ujar beliau.
Anugerah disampaikan pada 12 September sempena Konvensyen PBT dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) peringkat Kebangsaan.