lightning-solid
Berita :
Mangsa Lemas Ditemui Sejurus Selepas Azan Maghrib Berkumandang
Mangsa Lemas Ditemui Sejurus Selepas Azan Maghrib Berkumandang
Muhammad Rafie
16 jam yang lepas
70

HULU TERENGGANU, 1 Ogos – Mangsa lemas, Harun Ibrahim, yang dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak di Kampung Kudat pagi tadi, ditemui kira-kira jam 7.30 malam, sejurus selepas azan Maghrib berkumandang.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Allahyarham dikatakan bertindak terjun ke sungai bagi membantu seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang sedang lemas.

Kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan oleh seorang lagi penduduk kampung. Namun, Allahyarham dipercayai tenggelam sebelum hilang dari pandangan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan pelbagai agensi akhirnya membuahkan hasil apabila mayat Allahyarham berjaya ditemui pada waktu Maghrib. Sepanjang operasi berlangsung, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), bersama-sama penduduk kampung bertungkus-lumus menjalankan usaha pencarian di lokasi kejadian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh berkata, beliau merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR.

"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Encik Harun Bin Ibrahim. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. 

"Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota penyelamat, agensi yang terlibat serta penduduk kampung yang bertungkus-lumus sepanjang operasi SAR. Semoga segala usaha dan pengorbanan mereka dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT," katanya.

Allahyarham disifatkan sebagai insan yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan orang lain. Pengorbanannya menjadi bukti keikhlasan dan keberanian yang wajar dikenang, manakala pemergiannya meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada keluarga serta seluruh masyarakat setempat.


Tag :

Artikel Berkaitan