KUALA TERENGGANU, 18 November – Masalah tekanan air rendah yang sering dihadapi penduduk di Jalan Pasir Panjang dan kawasan sekitarnya antara isu yang dibangkitkan YB Hajah Zuraida Md Noor (Ladang) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Beliau berkata, masalah berkenaan bukan sahaja menjejaskan urusan harian penduduk, malah turut memberi kesan kepada operasi perniagaan serta penggunaan kemudahan awam di kawasan terbabit.
Menurutnya, isu tersebut perlu dilihat secara menyeluruh dari sudut kecekapan sistem agihan air negeri, lebih-lebih lagi apabila Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water – NRW) dilaporkan mencecah 42.84 peratus pada Mei 2026, dengan sebahagian besar kehilangan berpunca daripada kebocoran paip.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan kerajaan negeri dan pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) berhubung perancangan jangka panjang untuk menaik taraf sistem agihan air di Jalan Pasir Panjang, termasuk penggantian paip lama serta peningkatan kapasiti dan tekanan air.
“Bilakah projek naik taraf tersebut dijangka dilaksanakan dan apakah langkah segera yang boleh diambil bagi mengatasi kesulitan penduduk sementara menunggu kerja-kerja naik taraf dilaksanakan?” katanya.
Beliau turut berharap agar penyelesaian yang dirancang disertakan dengan peruntukan dan garis masa pelaksanaan yang jelas supaya penduduk dapat menikmati bekalan air yang stabil, mencukupi serta mempunyai tekanan sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa setiap isu yang dibangkitkan dalam persidangan DUN perlu diterjemahkan kepada tindakan dan penyelesaian yang nyata, bukannya sekadar perancangan dan janji.
Katanya, rakyat mengharapkan hasil yang boleh dirasai secara langsung dalam kehidupan seharian, justeru setiap amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan masa depan Terengganu.