lightning-solid
Berita :
Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat DUN Kuala Berang Permudah Akses Perkhidmatan Kepada Penduduk
Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat DUN Kuala Berang Permudah Akses Perkhidmatan Kepada Penduduk
Muhammad Rafie
13 jam yang lepas
109

HULU TERENGGANU, 30 Julai – Mini Karnival Kesejahteraan Rakyat Terengganu 2026 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang yang berlangsung di Dewan Komuniti Kuala Berang, semalam, menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Program yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik itu diadakan bagi mendekatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi konsep pusat sehenti, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai urusan, khidmat nasihat serta maklumat di bawah satu bumbung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh berkata, penganjuran program seumpama itu membolehkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta dengan lebih mudah, pantas dan efisien.

Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu penduduk menyelesaikan urusan harian, malah menjadi platform bagi mengukuhkan hubungan antara agensi penyedia perkhidmatan dengan masyarakat.

“Program seperti ini bukan sahaja memudahkan rakyat menyelesaikan pelbagai urusan harian, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara agensi penyedia perkhidmatan dengan masyarakat setempat.

“Kita berharap inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya lebih banyak perkhidmatan dapat dibawa terus kepada rakyat, sekali gus memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa dekat, mudah diakses dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Pelbagai agensi mengambil bahagian dalam program berkenaan, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Tabung Haji, Pos Malaysia, Takaful Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), CelcomDigi, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), AmBank, KQT, HRD Corp serta beberapa agensi lain.

Selain menawarkan perkhidmatan berkaitan kebajikan, kewangan, utiliti dan komunikasi, program itu turut menyediakan pelbagai khidmat pembangunan masyarakat yang membolehkan penduduk menyelesaikan pelbagai urusan di satu lokasi tanpa perlu mengunjungi beberapa pejabat atau agensi berasingan.


Tag :

Artikel Berkaitan