Berita :
PBSNT Perkukuh Pembangunan Bakat Muda Selepas Pemansuhan NFDP
PBSNT Perkukuh Pembangunan Bakat Muda Selepas Pemansuhan NFDP
Ahmad Zaeem Zainudin
9 jam yang lepas
122

KUALA NERUS, 21 Mei - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil langkah proaktif memperkukuhkan pembangunan bola sepak akar umbi negeri susulan penstrukturan semula Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Langkah itu dijalankan menerusi penubuhan Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT 2026 yang telah bermula pada awal tahun ini.

Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Belia dan Teknik PBSNT, Dato' Rosli Latiff berkata, akademi tersebut diwujudkan bagi memastikan pembangunan bakat muda bola sepak negeri terus berjalan secara tersusun.

Menurut beliau, penubuhan akademi itu juga menjadi platform untuk melahirkan pemain berkualiti yang mampu mewakili Terengganu dan negara pada masa hadapan.

"Pada hari ini kita telah melancarkan Akademi Elit Bola Sepak Negeri Terengganu dengan kerjasama tiga pihak, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan juga Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

"Ini adalah usaha kita untuk membangunkan bakat-bakat baru dan bakat muda di dalam bola sepak negara dan kita cuba untuk melahirkan pemain-pemain yang terbaik, yang boleh mewakili negeri dan seterusnya peringkat negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran dan Penyerahan Jersi Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT 2026 di Dataran Ilmu SK Bukit Tok Beng, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penubuhan akademi tersebut, Rosli menjelaskan ia merupakan inisiatif pertama PBSNT selepas pemansuhan pusat latihan NFDP di negeri tersebut.

"Apbila NFDP dimansuhkan, itulah yang kita di peringkat PBSNT pada Januari baru ini, kita telah bersetuju menubuhkan pasukan elit kita di Negeri Terengganu," ujarnya.

Menurutnya lagi, semua pemain yang terpilih ke akademi berkenaan merupakan hasil proses tapisan melibatkan bakat muda dari seluruh daerah di Terengganu sebelum ditempatkan di SK Bukit Tok Beng dan Sekolah Menengah Ibrahim Fikri.

Jelasnya, kedua-dua sekolah itu dipilih kerana memiliki fasiliti lengkap termasuk asrama dan padang latihan yang sesuai untuk pembangunan pemain muda.

"Kita ada banyak akademi-akademi yang di kampung-kampung ini, tapi mereka di kampung-kampung dan juga di daerah ini kita sudah pilih semua sekali.

"Dan kita tempatkan di sini, di Sekolah Kebangsaan Bukit Tok Beng ini disebabkan fasiliti dekat sini ada asrama, ada padang bola dan sebagainya.

"Begitu juga di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri. Semua pemain-pemain yang ada di sini adalah hasil daripada tapisan dari seluruh daerah (di Terengganu)," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran terbesar PBSNT ketika ini adalah aspek kewangan bagi memastikan pembangunan akademi dapat dilaksanakan secara kompetitif dan berterusan.

"Cabaran yang paling besar kepada kami adalah dari segi jumlah peruntukan yang kita perlu belanja untuk melahirkan pemain-pemain yang berkualiti.

"Yang jadi masalah sebenar kami adalah dari segi peruntukan untuk melahirkan pemain-pemain dan membina satu akademi yang kompetitif untuk masa depan bola sepak negara kita," ulasnya.

Rosli turut memaklumkan Akademi Elit Bola Sepak Terengganu PBSNT akan mengekalkan modul latihan sama seperti yang digunakan dalam program NFDP sebelum ini.


Ketupat

Artikel Berkaitan