Berita :
26 Pelayar, Tujuh Negara Jelajah Perairan Terengganu
26 Pelayar, Tujuh Negara Jelajah Perairan Terengganu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
12 jam yang lepas
151

KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Seramai 26 pelayar antarabangsa melibatkan 10 perahu layar akan menjelajah perairan di Terengganu sempena Program Sail Malaysia Passage to The East Yacht Rally (PTE) 2026 yang bermula semalam.

Kehadiran pelayar-pelayar dari Amerika Syarikat, Indonesia, Singapura, Belanda, Australia dan Filipina itu membuktikan Terengganu terus menjadi pilihan komuniti pelayaran antarabangsa sebagai destinasi persinggahan strategik di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Sulaiman Sulong mewakili kerajaan negeri mengalu-alukan 'pengembaraan' pelayar-pelayar tersebut ke negeri berkenaan.

"Pelayaran Sail Malaysia lebih daripada sekadar acara sukan biasa, ia berfungsi sebagai pemacu strategik yang penting bagi sektor maritim Terengganu.

"Tahun ini, kehadiran pelayar antarabangsa membawa pasaran pulangan tinggi yang akan menyuntik perbelanjaan besar secara langsung ke dalam sektor hospitaliti, peruncitan dan perkhidmatan marin tempatan kita.

"Penganjuran majlis ini di Kampung Budaya Terengganu pula merupakan pentas yang sempurna untuk mempamerkan warisan asli, seni bina tradisional, dan kraf tangan berusia berabad-abad lamanya secara langsung kepada rakan-rakan antarabangsa kita."Acara ini juga merupakan satu pencapaian penting dalam pelan hala tuju jangka panjang kami bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan bertindak sebagai batu lonjakan utama ketika kami bersiap sedia untuk Tahun Melawat Terengganu 2027," ucapnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perasmian PTE 2026 di sini, semalam.

Sail Malaysia yang berlangsung dari 19 Mei sehingga esok (21 Mei) meliputi beberapa lokasi pelancongan utama dalam negeri antaranya Pulau Kapas, Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

PTE 2026 merupakan ekspedisi pelayaran yang bermula dari Langkawi pada April dan akan berakhir di Tawau pada 31 Ogos nanti.

Kali terakhir Sail Malaysia singgah ke Terengganu adalah pada tahun 2017.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan