KUALA TERENGGANU, 18 November – Cadangan pembinaan Jalan Felcra Keruak–Chuchoh Puteri, Kuala Krai dilihat berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk Hulu Besut, khususnya dalam sektor pertanian, perniagaan dan pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, pembinaan jalan berkenaan penting bagi meningkatkan jaringan perhubungan antara Terengganu dan kawasan bersempadan di Kelantan.
Menurutnya, kemudahan itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah mampu melancarkan pemasaran hasil pertanian serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Sehubungan itu, beliau memohon penjelasan mengenai status cadangan projek berkenaan yang telah dikemukakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR Terengganu atas usaha membawa cadangan tersebut ke peringkat Kerajaan Persekutuan.
Mohd Husaimi berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya bukan sekadar menyediakan kemudahan perhubungan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang baharu kepada masyarakat setempat.
Bagaimanapun, beliau memahami bahawa cadangan projek berkenaan memerlukan penelitian menyeluruh termasuk aspek kos, jajaran, kesan alam sekitar serta penyelarasan antara negeri.
Justeru, katanya, penjelasan mengenai status permohonan, halangan yang dihadapi serta langkah susulan perlu diberikan bagi memastikan cadangan tersebut dapat diteruskan.
"Harapan rakyat perlu disambut dengan tindakan dan perancangan yang jelas.
"Berilah mereka kepastian tentang perkembangan serta langkah yang sedang diusahakan agar hasrat untuk menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik dapat direalisasikan," katanya.
Beliau turut berharap agar projek berkenaan diberikan keutamaan dalam perancangan pembangunan negeri supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.
Katanya, usaha merealisasikan pembinaan jalan itu perlu diteruskan dan tidak terhenti di peringkat permohonan demi manfaat penduduk Hulu Besut serta kawasan sekitarnya.