Jalur Gemilang
Berita :
Pemerkasaan Modal Insan 'Pelaburan' Bagi Tenaga Pakar Masa Depan
Pemerkasaan Modal Insan 'Pelaburan' Bagi Tenaga Pakar Masa Depan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
16 jam yang lepas
145

KUALA TERENGGANU, 18 November - Agenda Memperkasakan Pendidikan dan Modal Insan yang menjadi antara fokus pengumuman Belanjawan Terengganu 2027 menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam.

Menurutnya, ia merupakan penumpuan yang amat baik kerana masa depan negeri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber alam, tetapi turut bergantung kepada kualiti ilmu, kemahiran dan keupayaan generasi mudanya. 

"Anak-anak di DUN Air Putih khususnya, sama ada yang tinggal di kawasan bandar, kampung mahupun pedalaman, mesti diberikan peluang pendidikan yang adil dan berkualiti. 

"Oleh itu, saya mencadangkan supaya program pendidikan luar bandar terus diperkasakan melalui kelas tambahan, bimbingan akademik, literasi digital, STEM, pendidikan teknikal dan latihan vokasional atau TVET.

"Lebih penting, pendidikan perlu dihubungkan dengan peluang ekonomi yang sedang berkembang di Kemaman.

"Sebagai contoh, perkembangan sektor tenaga solar, pertanian moden, industri dan pelancongan komuniti memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran khusus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Enakmen Perbekalan (Belanjawan) 2027 pada Sidang DUN Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Tambahnya, anak-anak tempatan ini perlu diberikan pendedahan awal supaya mereka bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan, tetapi mampu mengisi peluang pekerjaan dan menjadi sebahagian daripada tenaga mahir negeri itu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan