KUALA TERENGGANU, 18 November – Peruntukan RM12.825 juta bagi pembangunan bekalan air negeri menerusi Belanjawan Terengganu 2027 diharap dapat dimanfaatkan untuk menangani masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Hulu Besut, khususnya di FELCRA Keruak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, beliau menyambut baik peruntukan berkenaan dan berharap keperluan penduduk di kawasan itu turut diberi perhatian dalam pelaksanaannya.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.475 juta diperuntukkan bagi kerja penukaran paip lama, manakala RM500,000 disediakan untuk pembinaan dan menaik taraf loji atau tangki air.
Katanya, peruntukan yang dinyatakan dalam Buku Belanjawan Negeri Terengganu 2027 itu diharap dapat diterjemahkan kepada penyelesaian masalah bekalan air yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Mohd Husaimi berkata, isu bekalan air bukan sekadar melibatkan masalah teknikal, sebaliknya turut menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila mereka terpaksa berdepan kesukaran serta menanggung masa dan perbelanjaan tambahan.
Sehubungan itu, beliau memohon supaya pihak berkaitan menjalankan pemeriksaan segera terhadap tangki air di FELCRA Keruak bagi mengenal pasti punca sebenar masalah yang dibangkitkan penduduk.
Menurutnya, pemeriksaan itu perlu merangkumi keadaan tangki, operasi pam, tekanan bekalan, sistem paip serta kapasiti penyimpanan air bagi memastikan tindakan pembaikan yang dilaksanakan benar-benar menepati keperluan.
Beliau turut berharap agar pihak berkaitan dapat memberikan penjelasan mengenai kerja pembaikan yang diperlukan serta jadual tindakan bagi kawasan yang mengalami masalah bekalan air.
"Kita mahu setiap peruntukan yang disediakan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Bekalan air yang mencukupi merupakan keperluan asas dan tidak seharusnya menjadi beban berpanjangan kepada kehidupan masyarakat," katanya.
Mohd Husaimi berharap agar keperluan penduduk Hulu Besut, khususnya di FELCRA Keruak, diberikan pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan projek pembangunan bekalan air negeri supaya masalah yang dihadapi dapat ditangani dengan berkesan.