KUALA TERENGGANU, 16 September – Poster promosi sebuah program yang memaparkan penyanyi rock terkenal, Amy Search dan tular di media sosial didapati disiarkan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Razali Idris berkata, sebarang bahan promosi berkaitan program di Terengganu sepatutnya hanya disiarkan selepas penganjur memperoleh permit dan kelulusan.
Menurutnya, proses kelulusan itu penting kerana penganjur akan dimaklumkan mengenai garis panduan yang perlu dipatuhi, termasuk berkaitan kesopanan, penampilan dan bahan promosi.
“Selagi tak dapat permit kelulusan, selagi itu jangan viral, jangan promo. Biar dapat permit.
“Apabila dia dapat permit, dia dah tahu garis panduan dia. Kalau dia tak dapat permit, dia tak tahu garis panduan. Kalau dia mohon permit, kita bagi garis panduan.
“Patutnya benda itu kena tunggu kelulusan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu bahan promosi sebuah vendor makanan bagi Karnival Pantai yang tular di media sosial selepas didakwa tidak menepati garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.
Razali menjelaskan, vendor yang mengeluarkan bahan promosi berkenaan bukan di bawah seliaan Jabatan Pelancongan, sebaliknya hanya terlibat sebagai vendor makanan dalam program tersebut.
Bagaimanapun katanya, sebaik menerima maklumat mengenai perkara itu, Jabatan Pelancongan telah diminta mengambil tindakan susulan terhadap pihak berkenaan.
Menurut beliau, semua bahan promosi yang dianggap tidak sesuai telah diturunkan oleh vendor terbabit dan digantikan dengan bahan baharu.
Razali pada masa sama menjelaskan kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana pihak daripada menganjurkan program, mengadakan persembahan atau menjalinkan kerjasama dalam acara yang berlangsung di Terengganu.
Namun, setiap penganjur, promoter dan vendor tegasnya perlu menghormati serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri.
“Kita tidak pernah menolak. Sesiapa sahaja nak buat persembahan, nak buat smart partnership dengan kita atau apa-apa sahaja.
“Cuma kita minta promoter ataupun vendor yang bersama dengan kita mesti mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan pematuhan terhadap garis panduan itu tidak terhad kepada persembahan ketika acara berlangsung, malah merangkumi poster, visual dan bahan promosi yang disebarkan kepada umum.
Justeru katanya, penganjur disaran tidak terburu-buru mempromosikan sesuatu program sebelum proses kelulusan selesai bagi mengelakkan bahan yang bercanggah dengan ketetapan negeri terlebih dahulu tersebar di media sosial.
Menurut Razali, pendekatan itu selaras dengan konsep pelancongan Islam yang diterapkan di Terengganu dengan nilai kekeluargaan, keagamaan dan kesopanan menjadi antara identiti yang diketengahkan kepada pelancong.
“Kita tidak menghalang orang datang atau membuat persembahan. Tetapi kita mahu mereka ikut garis panduan kita.
“Kehadiran pelancong ke Terengganu juga bukan untuk perkara yang tidak dibenarkan dalam agama kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemain industri dan semua pihak yang mahu menganjurkan acara di negeri itu supaya memahami budaya serta pendekatan masyarakat tempatan, khususnya berkaitan penampilan dan kesopanan.
“Orang bukan Islam mesti berpakaian sopan dan orang Islam wajib tutup aurat.
“Jadi oleh sebab itu kita dapat 15 juta pengunjung pada tahun lepas. Bukan kerana viral benda-benda yang tidak sopan. Jadi mereka kena faham.
“Tak perlu kita nak tunjukkan rock ke apa. Kita jemput, tetapi kita bagi garis panduan. Okey sahaja. Biarlah mengikut garis panduan,” katanya.
Razali berkata, pencapaian menerima 15 juta pengunjung pada tahun lalu menunjukkan tarikan Terengganu tidak bergantung kepada promosi yang bercanggah dengan nilai tempatan, sebaliknya negeri itu kekal menerima kunjungan pelancong dengan identiti dan garis panduan sedia ada.
Difahamkan, tiada artis wanita yang akan membuat persembahan sebagaimana ketetapan garis panduan dan ia berbeza dengan poster yang tular.