DUNGUN, 13 September - Prihatin dengan keadaan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini tinggal dalam keadaan serba kekurangan, Khidmat Malaysia DUN Sura mengambil inisiatif membantu Raja Mohd Yusuf, 42, yang lebih dikenali sebagai Nawang, mendapatkan kediaman baharu di Kampung Sura Tengah, di sini.
Usaha berkenaan membolehkan Nawang kini mendiami rumah baharu berkeluasan 224 kaki persegi yang disiapkan dalam tempoh kira-kira sebulan.
Sebelum ini, Nawang menumpang di rumah keluarganya, manakala kediaman asal yang didiaminya terletak di atas tanah masjid.

Hasil perbincangan berkenaan, abangnya bersetuju menyediakan tanah untuk dijadikan tapak pembinaan rumah baharu itu.
Pembinaan rumah berkenaan kemudiannya digerakkan dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin serta kerjasama masyarakat setempat.

Usaha itu turut mendapat kerjasama Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Sura Tengah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sura Tengah serta Ahli Jawatankuasa Masjid Sura Baru.
Kerjasama pelbagai pihak itu membolehkan rumah berkenaan disiapkan dalam tempoh kira-kira sebulan bagi memberi tempat tinggal yang lebih selesa kepada Nawang.
Khidmat Malaysia DUN Sura turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak dan masyarakat yang menyumbang tenaga serta sokongan dalam menjayakan usaha berkenaan.