Jalur Gemilang
Berita :
Projek Ayam Penelur Bantu Wanita Terengganu Jana Pendapatan Dari Rumah
Projek Ayam Penelur Bantu Wanita Terengganu Jana Pendapatan Dari Rumah
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU, 18 September – Program LAMANITA Terengganu 2026 menerusi Projek Penternakan Ayam Penelur disasarkan menjadi platform membantu wanita menjana pendapatan tambahan melalui aktiviti penternakan kecil-kecilan dari halaman rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata projek itu memberi peluang kepada wanita tani memperoleh pendapatan tambahan sekurang-kurangnya antara RM100 hingga RM200 sebulan melalui jualan telur ayam segar.

Menurutnya, meskipun jumlah itu dilihat kecil pada peringkat awal, pendapatan berkenaan mampu membantu menampung perbelanjaan dapur, keperluan persekolahan anak-anak serta keperluan harian keluarga.

“LAMANITA bukan sekadar sebuah projek penternakan ayam penelur, sebaliknya membawa gagasan lebih besar untuk memperkasa wanita Terengganu supaya mempunyai kemahiran, sumber pendapatan dan keupayaan membina ekonomi keluarga dari halaman rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program LAMANITA Terengganu 2026: Projek Penternakan Ayam Penelur di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, baru-baru ini. 

Ariffin berkata projek berkenaan turut memberi nilai tambah dari aspek keterjaminan makanan apabila hasil ternakan boleh digunakan untuk keperluan keluarga, manakala lebihan pengeluaran dipasarkan kepada jiran dan komuniti setempat.

“Konsep yang ingin kita suburkan ialah menghasilkan makanan untuk keluarga, menjana pendapatan untuk wanita dan menggerakkan ekonomi dalam komuniti.

“Apabila perkara kecil seperti ini dilakukan oleh lebih ramai wanita di seluruh negeri, ia mampu memberikan impak yang lebih besar kepada ekonomi Terengganu,” katanya.

Dalam memastikan projek itu dapat diurus secara sistematik dan berdaya maju, peserta turut diberikan kursus serta latihan penternakan ayam penelur secara berperingkat mengikut zon.

Bagi Zon 1, kursus berkenaan melibatkan peserta dari Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Tambah Ariffin, latihan itu merangkumi aspek teknikal termasuk pengurusan reban, pemakanan ayam, penjagaan kesihatan, kebersihan dan biosekuriti.

“Kita tidak mahu peserta sekadar menerima ayam dan peralatan, tetapi mereka tahu bagaimana mengurus ternakan, mengawal kos, menjaga kesihatan ayam, meningkatkan pengeluaran serta memasarkan hasil dengan baik,” katanya.

Ariffin turut menyeru peserta menjadikan projek berkenaan sebagai permulaan kepada usaha ekonomi yang berterusan dengan merekodkan hasil dan perbelanjaan, membina jaringan pelanggan serta mengembangkan ternakan secara berperingkat.

Menurutnya, kejayaan LAMANITA tidak seharusnya diukur berdasarkan pelaksanaan program semata-mata, sebaliknya melalui kemampuan peserta meneruskan projek, meningkatkan pengeluaran, meluaskan pasaran dan menambah pendapatan keluarga.

Beliau yakin dengan kerjasama kerajaan, jabatan dan agensi berkaitan, LAMANITA mampu menjadi model pemerkasaan ekonomi wanita berasaskan sumber setempat yang boleh dikembangkan di seluruh Terengganu.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan