lightning-solid
Berita :
Prosedur Pembalakan Diperketat, Tadahan Air Jadi Keutamaan
Prosedur Pembalakan Diperketat, Tadahan Air Jadi Keutamaan
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
107

Oleh ; Mohd Hilmi

BESUT, 25 Ogos – Kerajaan negeri memperketat prosedur kelulusan pembalakan bagi memastikan kawasan tadahan air dan kawasan sensitif tidak terjejas sehingga memberi kesan kepada kepentingan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, setiap permohonan pembalakan perlu melalui penelitian dan siasatan terperinci oleh Jabatan Perhutanan bagi memastikan tiada pertindihan dengan kawasan sensitif atau lesen sedia ada.

Menurut beliau, setiap permohonan turut dinilai secara teliti di peringkat Jawatankuasa Pembalakan Negeri sebelum sebarang kelulusan diberikan.

“Kita memang tak mahu benda yang berlaku (pembalakan) kita lulus tapi memberi kesan yang besar kepada rakyat,” jelasnya dalam satu program.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga sentiasa terbuka menerima aduan daripada rakyat sekiranya terdapat kesilapan atau kawasan tadahan air didapati terjejas tanpa disedari.

Katanya, aduan berkenaan boleh dijadikan asas untuk tindakan siasatan dan semakan semula terhadap sesuatu kelulusan bagi memastikan kepentingan masyarakat terus terpelihara.

Dalam perkembangan sama, Ariffin turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri menyediakan pelbagai peruntukan pembangunan untuk kegunaan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk melalui dana B02, P02 dan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Beliau menambah, peruntukan berkenaan boleh dimanfaatkan bagi melaksanakan program kebajikan, pembangunan infrastruktur serta penyediaan kemudahan awam di kawasan masing-masing.

“Pada saya duit peruntukan ini sudah cukup untuk DUN bergerak untuk kita melaksanakan program yang ada,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan