KUALA TERENGGANU, 5 Ogos -Semua pihak diseru mengambil pendekatan lebih terbuka dalam menilai penganjuran Himpunan RXZ Members 8.0 dengan memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan, bukannya hanya mencari kelemahan atau menuding jari.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penganjuran berskala besar seperti RXZ Members sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu dinilai secara menyeluruh.
Beliau berkata, semua pihak termasuk penganjur, masyarakat, pendakwah dan pemimpin perlu duduk semeja bagi mencari jalan terbaik untuk memperbaiki penganjuran pada masa akan datang.
“Saya tidak memilih untuk menghukum. Saya memilih untuk terus mengajak semua pihak lebih terbuka.
“Penganjur terbuka, masyarakat terbuka, pendakwah terbuka dan pemimpin terbuka. Yang mana kurang kita perbaiki, yang mana lemah kita atasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Hishamuddin, kejayaan penganjuran RXZ Members sehingga memasuki edisi kelapan wajar diberikan penghargaan kerana bukan mudah untuk menguruskan kehadiran ratusan ribu peserta.
Katanya, program itu digerakkan oleh golongan anak muda sejak edisi pertama dan memerlukan komitmen tinggi daripada seluruh pasukan kerja.
Beliau turut menjelaskan bahawa RXZ Members bukan program anjuran Kerajaan Negeri Terengganu, sebaliknya dianjurkan oleh pihak penganjur yang menyewa dan menggunakan premis milik kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri hanya menyokong usaha anak muda. Orang politik daripada pihak kerajaan negeri tidak menumpang untuk meraih keuntungan politik daripada penganjuran ini.
“Dijemput, kami raikan. Tidak dijemput pun tiada masalah,” katanya.
Mengulas aspek keselamatan, Hishamuddin berkata, tiada penganjur yang mahu melihat peserta mereka terlibat dalam kemalangan.
Beliau berkata, pelbagai nasihat keselamatan telah diberikan oleh pihak penganjur dan agensi berkaitan agar peserta sentiasa berhati-hati di jalan raya.
Katanya, perubahan slogan daripada 'Yang Kental Pasti Sampai' kepada 'Yang Santai Pasti Sampai' juga mencerminkan usaha penganjur menggalakkan tunggangan lebih berhemah.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya peserta konvoi diberikan pendedahan lebih jelas mengenai disiplin dan keselamatan ketika menunggang secara berkumpulan.
Menurutnya, setiap konvoi perlu mempunyai pemimpin dan tidak dilakukan sesuka hati tanpa kawalan.
“Yang penting, usaha pencegahan perlu dilakukan dengan lebih baik. Kita perlu tekankan aspek keselamatan, disiplin konvoi dan tanggungjawab setiap peserta,” katanya.
Hishamuddin turut mengingatkan masyarakat supaya tidak hanya melihat sisi negatif program berkenaan kerana terdapat juga banyak perkara positif yang kurang diberikan perhatian.
Beliau berkata, kehadiran ratusan ribu peserta sememangnya membawa pelbagai ragam dan perangai, namun sudut positif mereka juga wajar diketengahkan secara adil.
Antara perkara yang menarik perhatian, katanya, ialah penglibatan masjid dan surau berhampiran yang membuka ruang serta memudahkan peserta menunaikan solat.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu pendekatan dakwah yang baik dalam mendekati anak muda supaya sentiasa akrab dengan masjid dan tidak meninggalkan kewajipan agama.
“Peserta bukan semuanya terdidik dengan agama, tetapi mereka berhak dididik dengan penuh kasih sayang.
“Saya gembira mendengar berita ada yang tidak pernah solat selama puluhan tahun tetapi berusaha menunaikan solat ketika singgah di sebuah masjid,” katanya.
Menyentuh isu penguatkuasaan, Hishamuddin berharap Polis Diraja Malaysia dapat lebih berhati-hati dalam penggunaan kenyataan kepada media agar tidak menimbulkan tanggapan seolah-olah tiada tindakan akan diambil sepanjang program berlangsung.
Menurutnya, penguatkuasaan tetap perlu dilaksanakan terhadap kesalahan yang jelas melanggar undang-undang jalan raya, namun pendekatannya perlu dilakukan secara berhemah dan mesra.
Mengulas isu sampah, beliau berkata, masalah itu berpunca daripada sikap dan kurangnya kesedaran sivik, bukan semata-mata disebabkan RXZ Members.
Katanya, isu sama turut berlaku dalam pelbagai acara besar termasuk perlawanan bola sepak, himpunan awam dan program yang menghimpunkan ramai pengunjung.
“Datanglah program apa pun, semua akan terkesan dengan isu sampah jika sikap masyarakat tidak berubah.
“Semua pihak perlu lebih cakna terhadap kebersihan dan bertanggungjawab terhadap sampah masing-masing,” katanya.
Hishamuddin turut menyentuh isu pematuhan etika berpakaian, khususnya dalam kalangan peserta wanita, yang menurutnya sukar dikawal jika hanya bergantung kepada kesedaran individu.
Beliau berkata, perkara itu memerlukan perbincangan dan pendekatan yang lebih tersusun sekiranya mahu diperbaiki dalam penganjuran akan datang.