SETIU, 15 September - Langkah penutupan simpang masuk Masjid Jabi terpaksa dilaksanakan demi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban akibat sikap segelintir pengguna jalan raya yang kerap membuat pusingan U (U-turn) secara haram dan berbahaya di lokasi berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim meyakinkan penduduk setempat bahawa kemudahan laluan gantian yang lebih terjamin keselamatannya telah pun disediakan oleh pihak berkuasa.
"Sebagai ganti, pusingan U baharu yang sah dan selamat telah dibina di Cabang Tiga Oh bagi melancarkan pergerakan trafik serta menjamin keselamatan orang ramai," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyampaikan penghargaan khusus kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bertindak pantas memudah cara pergerakan pengguna jalan raya di Pekan Jabi.
Beliau turut menitipkan pesan agar semua pemandu sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga ketika berada di jalan raya.
"Pandu cermat jiwa selamat, ingat orang yang tersayang. Pandu laju maut menunggu," tegasnya.