Jalur Gemilang
Berita :
RM13 Juta Diperuntukkan Bagi Pemuliharaan Sungai, Saliran Hadapi MTL di Terengganu
RM13 Juta Diperuntukkan Bagi Pemuliharaan Sungai, Saliran Hadapi MTL di Terengganu
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
55

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober – Sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan sungai dan saliran di Terengganu sepanjang tahun 2026, sebagai usaha meningkatkan keupayaan sistem saliran serta mengurangkan risiko banjir khususnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pelaksanaan kerja berkenaan merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu bagi memastikan aliran air lebih lancar serta sistem sungai dan saliran berfungsi dengan berkesan.

"Skop pelaksanaan merangkumi kerja-kerja pembersihan dan pemuliharaan saliran, penstabilan tebing sungai, penambahbaikan saluran dan struktur berkaitan, serta pembaikan infrastruktur yang terjejas akibat banjir atau kejadian di luar jangka. 

"Pelaksanaan ini bertujuan memastikan sistem sungai dan saliran berfungsi dengan lebih berkesan, di samping membantu mengurangkan risiko banjir kepada penduduk dan kawasan yang terdedah," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan penilaian teknikal, keperluan sebenar di lapangan dan tahap keutamaan di setiap daerah, tertakluk kepada skop yang diluluskan serta peruntukan tersedia.

Dalam pada itu, pengurusan sistem saliran turut melibatkan beberapa agensi mengikut bidang kuasa masing-masing, dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertanggungjawab terhadap saliran dalaman, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) menguruskan saliran di tepi jalan.

"Manakala JPS memberi tumpuan kepada sungai dan saliran semula jadi di bawah bidang kuasanya. Saliran desa, pertanian dan ladang pula dikendalikan oleh agensi berkaitan mengikut tanggungjawab masing-masing," ujarnya.

Sehubungan itu, penyelarasan antara agensi amat penting bagi memastikan kerja pembersihan dan penyelenggaraan dilaksanakan secara menyeluruh, teratur serta mengelakkan pertindihan tanggungjawab.

"JPS Negeri Terengganu akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional dengan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan awam, keberkesanan sistem saliran dan pengurangan risiko banjir.

"Usaha ini akan diteruskan berdasarkan keperluan teknikal, bidang kuasa jabatan serta peruntukan yang disediakan demi kesejahteraan masyarakat di Negeri Terengganu," tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan