KUALA TERENGGANU, 7 November – Warisan seni pembuatan kolek tradisional berisiko hilang ditelan zaman sekiranya kemahiran pertukangan dan pengetahuan berkaitan perahu warisan itu gagal diwariskan kepada generasi muda.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Amzad Mohamed @ Hashim berkata, kolek bukan sekadar perahu atau alat menangkap ikan, sebaliknya melambangkan sejarah, keberanian, ketabahan dan kebijaksanaan masyarakat nelayan yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri Terengganu.
"Kolek merupakan lambang hubungan erat masyarakat kita dengan laut.
"Ia mencerminkan kemahiran pertukangan tradisional, pengetahuan tentang perairan, serta semangat masyarakat yang menjadikan laut sebagai sumber kehidupan dan rezeki.
"Warisan seperti ini amat bernilai. Namun, sekiranya tidak dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda, kita berisiko kehilangan sebahagian daripada jati diri dan sejarah bangsa kita sendiri," jelasnya.

Tambahnya, Terengganu bukan sahaja terkenal dengan keindahan pantai, pulau-pulau, produk kraftangan dan makanan tradisional, malah negeri ini turut kaya dengan seni, budaya serta tradisi masyarakat yang unik.
"Kita perlu melihat warisan budaya sebagai satu produk pelancongan yang mampu memberikan pengalaman autentik kepada para pelancong.
"Festival ini berpotensi untuk menjadi tarikan pelancongan berasaskan warisan yang mampu menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa.
"Lebih penting lagi, pembangunan pelancongan berasaskan warisan hendaklah memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti setempat, khususnya masyarakat nelayan, pengusaha kecil, penggiat seni dan budaya serta generasi muda," ujarnya.
Tambahnya, generasi muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk mengenali, mempelajari serta menghayati warisan tradisional supaya tidak sekadar menjadi kenangan kepada generasi terdahulu.

"Kita boleh menggabungkan elemen tradisional dengan pendekatan kreatif, inovasi dan teknologi digital bagi menjadikan warisan ini lebih menarik dan mudah difahami oleh generasi muda," katanya.
Justeru itu, beliau berharap festival berkenaan dapat diperluas pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai komuniti, institusi pendidikan, penggiat budaya, persatuan pelancongan dan pihak industri.
"Saya akan terus menyokong program yang berteraskan seni, budaya dan warisan negeri Terengganu untuk dinikmati oleh para pelancong dalam dan luar negara," tambah beliau.