lightning-solid
Berita :
Sistem Saliran Sempurna Kurangkan Impak Banjir Di Kampung Telaga Papan
Sistem Saliran Sempurna Kurangkan Impak Banjir Di Kampung Telaga Papan
Hidayah Azlin
1 hari yang lepas
51

SETIU, 31 Julai– Kampung Telaga Papan di sini sekali lagi menjadi perhatian apabila dikenal pasti antara lokasi yang kerap dilanda musibah banjir saban tahun, khususnya setiap kali tibanya musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, meskipun bencana alam seperti banjir tidak mampu dihalang sepenuhnya, pelbagai langkah proaktif boleh diambil untuk meminimumkan kadar kerosakan dan kesannya terhadap penduduk setempat.

Menurut beliau, antara langkah utama yang perlu diberi tumpuan ialah pembinaan dan penambahbaikan sistem saliran secara berkesan bagi memastikan aliran air dapat mengalir dengan lancar apabila taburan hujan tinggi berlaku.

"Kita tidak mampu menahan banjir, tetapi kita boleh berusaha untuk mengurangkan impak daripada kejadian tersebut. Antaranya adalah dengan membina sistem saliran yang baik agar aliran air menjadi lancar," katanya.


Isu banjir di kawasan pesisir dan dataran rendah seperti Setiu sering memberi kesan mendalam terhadap sektor pertanian serta kehidupan seharian penduduk.

 Justeru, perancangan infrastruktur dan penambahbaikan saliran yang teratur dijangka dapat mengurangkan risiko takungan air yang lama sekali gus memelihara punca pendapatan komuniti setempat.


Pihak kerajaan negeri terus komited dalam memantau kawasan risiko tinggi dan memastikan persediaan awal dibuat menjelang musim tengkujuh bagi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.


Tag :

Artikel Berkaitan