Jalur Gemilang
Berita :
Skor Perundangan Negara Lemah, Ahli Parlimen Besut Tuntut Penjelasan Isu ‘Mafia Korporat’
Skor Perundangan Negara Lemah, Ahli Parlimen Besut Tuntut Penjelasan Isu ‘Mafia Korporat’
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
2 jam yang lepas
18

KUALA LUMPUR, 2 November - Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menuntut penjelasan konkrit kerajaan berhubung langkah memulihkan integriti sistem perundangan negara susulan laporan Economic Freedom of the World 2026 oleh Fraser Institute yang meletakkan Malaysia pada skor paling lemah iaitu 5.94.

Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Rakyat hari ini, sambil mempersoalkan sama ada skor rendah membabitkan kebebasan perundangan daripada pengaruh politik itu berpunca daripada dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ serta layanan berbeza dalam kes berprofil tinggi.

“Melihat skor yang rendah ini, adakah ia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh dakwaan kewujudan mafia korporat yang sedang membelenggu kerajaan kita?

“Dakwaan tersebut menyatakan ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersekongkol untuk menjaga kepentingan individu tertentu dengan mengugut, menahan dan kadangkala mengesyorkan pertuduhan terhadap eksekutif syarikat tertentu agar mafia korporat boleh mengambil alih syarikat mereka,” ujarnya.

Menurut beliau, tindakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa siasatan yang dipengerusikan oleh Peguam Negara tetapi masih melibatkan SPRM sendiri sebagai penyiasat berisiko menimbulkan konflik kepentingan dan menjejaskan ketelusan siasatan.

“Tambahan pula apabila bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri terpalit dengan skandal pemilikan saham melebihi had dibenarkan untuk penjawat awam, yang dahulu kononnya mahu ditangkap tetapi kini seperti telah dibersihkan, manakala laporan siasatan terhadapnya diperam daripada rakyat,” katanya lagi.

Dalam perbahasan sama, Che Mohamad Zulkifly turut mempersoalkan perkembangan siasatan dakwaan urus niaga orang dalam (insider trading) membabitkan syarikat HeiTech Padu dan Zetrix yang dikaitkan dengan Datuk Farhash Wafa Salvador, selepas individu berkenaan setakat ini hanya dilepaskan daripada tuduhan salah laku penerokaan mineral di Sabah.

Beliau pada masa sama mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan tahap konsistensi dan kewibawaan jabatan itu dalam mengendalikan kes berprofil tinggi, khususnya perbandingan ketara antara kes pembelian banglo melibatkan Ahli Parlimen Bagan dengan kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo.

“Kedua-duanya berpaksikan pertuduhan yang seiras, bezanya adalah seorang didapati bersalah dan dipenjara, manakala untuk seorang lagi AGC telah menarik balik pertuduhan sepenuhnya dan mahkamah memberikan pelepasan penuh.

“Bukan sahaja rakyat, malah SPRM pun ketika itu terkejut mengapa AGC berbuat demikian, termasuk isu keterangan saksi yang menyebut beliau memberi rasuah dalam bentuk beg hitam yang ada di dalamnya wang berjuta-juta ringgit.

“Oleh demikian, apakah mekanisme yang lebih ketat yang akan diimplementasikan oleh AGC bagi memastikan keputusan penarikan balik pertuduhan pada masa depan dibuat secara telus dan berasaskan garis panduan yang lebih objektif?,” soal beliau.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan