Jalur Gemilang
Berita :
Studio TikTok Berpusat Dicadang Diperluas ke Seluruh Terengganu
Studio TikTok Berpusat Dicadang Diperluas ke Seluruh Terengganu
Rohayati Ripin
19 minit yang lepas
19

KUALA TERENGGANU, 13 September – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merancang untuk memperluaskan kemudahan studio TikTok ke daerah-daerah secara berpusat bagi memudahkan usahawan dan pencipta kandungan memasarkan produk tempatan melalui platform digital.

Pengerusinya, Dato' Ariffin Deraman berkata, perancangan itu bagaimanapun perlu mengambil kira kos pembinaan dan penyediaan peralatan sebelum dilaksanakan secara lebih meluas.

Menurutnya, antara pendekatan yang sedang dipertimbangkan ialah mewujudkan empat pusat studio bagi menampung keperluan lapan daerah di negeri ini.

“Kalau boleh kita nak bincang dengan pihak TikTok untuk melihat bagaimana kemudahan ini boleh diperluaskan.

“Cuma untuk buat satu studio di setiap daerah, kosnya agak mahal. Mungkin kita boleh buat dalam bentuk yang lebih murah dan berpusat, contohnya lapan daerah dikongsi oleh empat pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Market Innovation Showcase 2026 dan Peluncuran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu, di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini. 

Ariffin menambah, sekiranya pelaksanaan studio sedia ada berjaya memberi impak positif kepada usahawan, tidak mustahil kemudahan sama akan diperluaskan ke lebih banyak daerah pada masa hadapan.

Katanya, YPU turut menjalin kerjasama dengan syarikat latihan tempatan dan agensi Multi Channel Network (MCN) yang diiktiraf oleh TikTok Shop bagi membantu usahawan meningkatkan jualan melalui sesi siaran langsung.

“Agensi ini mempunyai studio dan tenaga kreatif sendiri. Seorang usahawan mungkin hanya mampu membuat lima atau enam sesi siaran langsung seminggu, tetapi dengan bantuan agensi dan ramai pencipta kandungan, ia boleh diperluaskan kepada lebih banyak sesi promosi.

“Itulah antara pendekatan yang kita lakukan untuk membantu produk dan jenama usahawan Terengganu berkembang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, YPU turut melaksanakan program padanan antara usahawan dengan pencipta kandungan atau affiliate creator bagi memperluaskan capaian pemasaran produk tempatan.

Menurutnya, kira-kira 1,000 belia Terengganu telah dikenal pasti dan ditemui untuk membina jaringan pencipta kandungan yang boleh membantu mempromosikan produk usahawan YPU.

“Jadi usahawan bukan sahaja perlu bergantung kepada diri sendiri untuk membuat video atau siaran langsung, tetapi mereka juga boleh mempunyai komuniti belia yang membantu mempromosikan produk.

“Seorang usahawan mungkin boleh bekerjasama dengan puluhan pencipta kandungan yang telah dilatih mengenai produk mereka dan mereka boleh membuat siaran langsung dari pelbagai lokasi termasuk Marang dan Besut,” katanya.

Sementara itu, dalam masa sama beliau berharap peluncuran Studio TikTok Shop Live @ Hab Digital Niaga Terengganu menjadi pusat pembangunan keupayaan usahawan, khususnya dalam menghasilkan kandungan berkualiti, mengendalikan siaran langsung secara profesional serta memperkukuh strategi penjenamaan dan pemasaran digital.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan