Jalur Gemilang
Berita :
Tangkapan Khalwat di Terengganu Turun 42 Peratus
Tangkapan Khalwat di Terengganu Turun 42 Peratus
Rohayati Ripin
15 jam yang lepas
75

KUALA TERENGGANU, 18 November – Jumlah tangkapan khalwat di Terengganu menunjukkan penurunan sebanyak 42.1 peratus kepada 136 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, berbanding 235 kes sepanjang tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Angka ini menunjukkan trend penurunan tangkapan khalwat.

"Berdasarkan pecahan daerah, Kemaman merekodkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 39 kes bagi Januari hingga Oktober 2026, diikuti Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing 19 kes, Dungun (19 kes), Marang (13 kes), Setiu (tujuh kes), Besut (lima kes) dan Hulu Terengganu sembilan kes," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata demikian menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Bajet).

Tambahnya lagi, pada 2025 pula, Kemaman turut mencatat jumlah tertinggi sebanyak 69 tangkapan, diikuti Kuala Terengganu (56 kes), Marang (27 kes), Hulu Terengganu (22 kes), Dungun (20 kes), Kuala Nerus (17 kes), Setiu (13 kes) dan Besut (11 kes).

Dalam pada itu, data pendaftaran kes kategori 651 yang merangkumi khalwat, percubaan persetubuhan haram dan bersekedudukan menunjukkan sebanyak 468 kes didaftarkan sepanjang 2025.

"Bagi tempoh sehingga 15 Oktober 2026 pula, sebanyak 376 kes kategori berkenaan direkodkan, dengan Kemaman mencatat jumlah tertinggi sebanyak( 103 kes), diikuti Kuala Terengganu (83 kes), Marang (51 kes), Dungun (46 kes), Kuala Nerus (38 kes), Hulu Terengganu (29 kes), Setiu (16 kes) dan Besut (10 kes)," ujarnya.

Tambah beliau, tanggungjawab membuat tangkapan adalah di bawah kuasa Pegawai Penguatkuasa Syariah Terengganu.

Manakala pendaftaran kes di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dibuat selepas menerima dokumen lengkap daripada Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan