Jalur Gemilang
Berita :
“Tegas, Rasional, Tunai Janji” – Syed Saddiq Kenang Dr. Sam
“Tegas, Rasional, Tunai Janji” – Syed Saddiq Kenang Dr. Sam
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 19 September – “Tegas, rasional dan berpegang pada kata-katanya.”

Demikian gambaran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengenang kembali rundingan politik yang membawa kepada kelulusan Undi18.

Syed Saddiq berkata, Ahmad Samsuri merupakan antara pemimpin pembangkang terawal yang ditemuinya ketika beliau, selaku Menteri Belia dan Sukan, perlu mendapatkan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi meluluskan pindaan Perlembagaan berkenaan.

“Saya masih ingat perbincangan kami.

“Beliau dengar. Beliau kemukakan cadangan dan tuntutan mereka. Tegas, tetapi rasional,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut Syed Saddiq, antara perkara penting yang dibangkitkan dalam rundingan itu ialah pendaftaran pemilih secara automatik, supaya rakyat yang layak tidak lagi perlu mendaftar secara manual sebelum boleh mengundi.

Cadangan tersebut akhirnya menjadi sebahagian daripada pindaan bersama penurunan umur mengundi dan umur kelayakan menjadi calon kepada 18 tahun.

Pindaan bersejarah itu diluluskan sebulat suara oleh 211 Ahli Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019.

Bagi Syed Saddiq, apa yang lebih diingatinya ialah komitmen Ahmad Samsuri selepas persetujuan dicapai.

“Saya cuba tunaikan apa yang dipersetujui.

“Dan beliau pula berpegang pada kata-katanya.

“Itulah politik yang saya percaya,” katanya.

Menurut bekas menteri itu, perbezaan parti dan ideologi tidak semestinya menjadi penghalang untuk pemimpin duduk semeja apabila melibatkan kepentingan negara.

“Kita boleh berbeza parti, berbeza ideologi dan berlawan ketika pilihan raya.

“Tetapi apabila sesuatu perkara itu baik untuk negara, kita masih boleh duduk semeja, berunding dan mencari jalan bersama,” katanya.

Kisah lama itu kembali dikongsikan selepas Syed Saddiq bertemu Ahmad Samsuri, namun kali ini bukan untuk rundingan politik.

Sebaliknya, beliau hadir sendiri bagi menyerahkan kad jemputan perkahwinannya kepada Menteri Besar Terengganu itu.

“Hari ini, bertahun-tahun selepas semua itu, saya datang bukan untuk berunding soal politik.

“Saya datang untuk menyerahkan kad jemputan kahwin,” katanya berseloroh.

Syed Saddiq turut menyerahkan jemputan kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menurutnya pernah membantu beliau pada fasa berbeza dalam perjalanan politiknya.

Beliau mengenang keputusan pentadbiran Ismail Sabri yang bersetuju dengan prinsip pemberian peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Baginya, peruntukan Parlimen bukan wang milik seseorang Ahli Parlimen, sebaliknya wang yang akhirnya digunakan untuk rakyat.

Syed Saddiq berkata perbezaan politik tidak seharusnya memadamkan jasa mereka yang pernah membantu.

“Politik datang dan pergi. Parti boleh berbeza. Kedudukan juga tidak kekal selamanya.

“Tetapi budi, jasa dan persahabatan, itu tidak akan saya lupa,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan