Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Naikkan Elaun Imam, Bilal
Terengganu Naikkan Elaun Imam, Bilal
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
204

KUALA TERENGGANU, 9 September – Kerajaan Terengganu bersetuju menaikkan elaun imam dan bilal di seluruh negeri, meneruskan komitmen memperkukuh kebajikan petugas serta institusi masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.

“Alhamdulillah, mesyuarat MMKN hari ini bersetuju menaikkan elaun imam dan bilal di seluruh negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Langkah itu meneruskan beberapa inisiatif kerajaan negeri dalam menghargai peranan imam dan bilal sebagai penggerak utama pengimarahan masjid serta pembinaan masyarakat. 

Rekod terdahulu turut menunjukkan seramai 2,484 imam dan bilal di seluruh Terengganu menerima bantuan khas pada 2021, menggambarkan besarnya kelompok petugas masjid yang memainkan peranan di seluruh negeri.

Terbaharu pada 24 Ogos lalu, kerajaan negeri menyalurkan RM1.022 juta kepada 511 masjid di seluruh Terengganu dengan setiap masjid menerima RM2,000 bagi memperkukuh program pengimarahan, dakwah, kebajikan dan aktiviti kemasyarakatan.

Perhatian terhadap institusi masjid dan surau turut diteruskan menerusi pemberian subsidi air percuma kepada 2,152 masjid dan surau di seluruh negeri yang melibatkan kos kira-kira RM1.02 juta.

Keputusan menaikkan elaun imam dan bilal hari ini sekali gus menambah satu lagi inisiatif kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi masjid serta menghargai khidmat petugas agama yang menjadi antara tonggak masyarakat di Terengganu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan