KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Terengganu terus memperkukuh hubungan antarabangsa menerusi penerokaan kerjasama strategik dengan Persekutuan Rusia dalam beberapa sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pembangunan ekonomi negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Naiyl M. Latypov.
Beliau berkata, antara bidang yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk diterokai ialah tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, penyelidikan, perdagangan serta pembangunan industri bernilai tinggi.
"Terengganu sentiasa terbuka untuk membina jaringan kerjasama dengan rakan antarabangsa dalam usaha memperkukuh daya saing negeri dan negara," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau semalam.
