KUALA TERENGGANU, 16 November – Kerajaan negeri komited memperkukuh pembangunan atlet Para ( (Sukan Orang Kelainan Upaya) secara menyeluruh bagi memastikan golongan itu bukan sahaja mampu meraih pingat dalam temasya Para SUKMA, malah berupaya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelbagai perancangan jangka panjang sedang dilaksanakan bagi memastikan pembangunan sukan Para negeri lebih tersusun, sistematik dan berterusan.
Menurutnya, antara langkah penting yang diambil ialah penubuhan Jawatankuasa Induk Sukan Para Negeri Terengganu pada Februari 2026 melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
Katanya, jawatankuasa yang dipengerusikan bersama beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Negeri, Ustaz Maliaman Kassim itu turut melibatkan pelbagai agensi berkaitan bagi menyelaras pembangunan sukan Para.
"Kerajaan negeri juga mempergiat usaha pencarian bakat baharu menerusi kerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri serta agensi berkaitan.
"Antaranya, Program iTalent telah dilaksanakan di tujuh daerah dari Mei hingga Julai 2026, manakala Kem Pencarian Bakat Sukan Para Peringkat Negeri Terengganu dijadualkan berlangsung pada 27 hingga 29 November ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, kerajaan negeri melalui MSNT turut memberi perhatian kepada penyediaan sokongan menyeluruh merangkumi program latihan berstruktur dan berterusan, pemberian elaun kepada atlet, jurulatih serta penggerak sukan.
" Selain itu, perancangan pelaksanaan kem latihan berpusat turut diberi perhatian bagi meningkatkan tahap prestasi atlet serta memperkukuh persediaan mereka menghadapi kejohanan," ujar beliau lagi.
Katanya, aspek penyediaan peralatan sukan khusus mengikut kategori ketidakupayaan atlet juga menjadi antara keutamaan bagi memastikan mereka dapat menjalani latihan secara lebih berkesan.
"Kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pelaksanaan klasifikasi atlet lebih awal serta usaha mengenal pasti dan menambah baik kemudahan latihan yang bersesuaian supaya atlet Para dapat menjalani latihan dalam persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif," katanya.
Tambah beliau, kerjasama antara agensi kerajaan, persatuan sukan dan pihak berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan atlet Para tidak hanya tertumpu kepada kejayaan jangka pendek.
Sebaliknya, usaha itu bertujuan melahirkan lebih ramai atlet pelapis berkualiti dan berdaya saing yang mampu mengharumkan nama Terengganu di pentas kebangsaan serta antarabangsa.