KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan Terengganu menyasarkan peruntukan sekitar RM25 juta daripada Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2027 bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, berkata permohonan PPAN 2027 kini berada pada fasa akhir penilaian sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan keseluruhan peruntukan PPAN 2027 sebanyak RM300 juta yang disediakan di peringkat kementerian.
“Kerajaan Negeri menyasarkan memperoleh sekitar RM25 juta bagi memastikan agenda keterjaminan makanan terus diberi perhatian utama,” jelasnya ketika menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed, pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.
Menurut beliau, Terengganu menerima RM17.381 juta menerusi PPAN pada 2026 bagi melaksanakan 20 projek melibatkan sektor tanaman, perikanan, ternakan, pengairan dan pembangunan infrastruktur agromakanan.
"Antara projek terbesar ialah pembangunan tukun tiruan penghalang pukat tunda bernilai RM5 juta yang telah mencapai 100 peratus pelaksanaan.
Rekod menunjukkan peruntukan program keterjaminan makanan/PPAN kepada Terengganu berjumlah RM10.06 juta bagi 12 projek pada 2024, meningkat kepada RM18.884 juta bagi 21 projek pada 2025, sebelum berjumlah RM17.381 juta bagi 20 projek pada 2026.
Bagaimanapun, Dr Azman berkata Kerajaan Negeri perlu memastikan setiap projek PPAN yang diluluskan dapat disiapkan dalam tahun semasa bagi mengelakkan prestasi pelaksanaan memberi kesan terhadap permohonan peruntukan pada tahun berikutnya.
Tambahnya, perkara itu ditetapkan menerusi Garis Panduan Pelaksanaan PPAN 2026-2030 yang menghendaki semua program dan projek yang diluluskan Jawatankuasa Induk PPAN disiapkan dalam tahun semasa.
“Jika terdapat program atau projek yang tidak dapat disiapkan, ia akan memberi kesan kepada Kerajaan Negeri bagi permohonan peruntukan tahun selepas itu,” ujar beliau.
Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri kini memberi tumpuan kepada kelancaran pelaksanaan projek yang telah diluluskan sebagai antara langkah memperkukuh pengeluaran makanan dan memastikan sasaran memperoleh peruntukan lebih besar pada 2027 dapat direalisasikan.