KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan Terengganu menanggung kos rawatan rakyat yang layak di klinik swasta berdaftar berjumlah RM13.049 juta menerusi Program Kad Sejahtera sejak diperkenalkan pada 2021 hingga September tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, jumlah itu merangkumi keseluruhan kos rawatan penerima yang dituntut oleh klinik panel sepanjang pelaksanaan program berkenaan secara berfasa.
Menurutnya, bagi Fasa 6 yang berlangsung dari Julai 2026 hingga Jun 2027, seramai 4,576 penerima layak menikmati kemudahan rawatan percuma di 332 klinik swasta berdaftar di seluruh negeri.
"Sebanyak 4,849 transaksi rawatan direkodkan sepanjang Julai hingga September dengan jumlah kos sebanyak RM291,429.39.
"Daripada jumlah itu, RM37,975.50 direkodkan pada Julai, meningkat kepada RM125,061.15 pada Ogos dan RM128,392.74 pada September," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, di sini.
Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata, pelaksanaan Fasa 5 yang melibatkan 4,224 penerima pula merekodkan kos rawatan sebanyak RM369,824.70 bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mac 2026.
Katanya, kemudahan itu membolehkan golongan yang layak mendapatkan rawatan kesihatan asas di klinik swasta tanpa perlu menanggung sendiri kos rawatan yang dilindungi program berkenaan.
Jelasnya, pelaksanaan Kad Sejahtera turut membantu mengurangkan beban kewangan penerima, khususnya mereka yang memerlukan rawatan kesihatan asas.
"Program ini merupakan antara usaha kerajaan negeri membantu meringankan beban kos rawatan golongan sasaran selain memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan asas," katanya.