lightning-solid
Berita :
Terengganu Teroka Kerjasama Dengan UDA, Sasar Lebih Banyak Rumah Mampu Milik
Terengganu Teroka Kerjasama Dengan UDA, Sasar Lebih Banyak Rumah Mampu Milik
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
56

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kerajaan Terengganu meneroka kerjasama strategik dengan UDA Holdings Berhad bagi memperluaskan pembangunan rumah mampu milik di negeri ini, sekali gus memenuhi keperluan kediaman rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat yang diadakan bersama delegasi Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu ke ibu pejabat UDA Holdings Berhad pada Selasa.

Menurut beliau, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam membangunkan projek perumahan mampu milik di atas tanah milik kerajaan yang dikenal pasti berpotensi.

"Bahagian Perumahan SUK Terengganu telah membentangkan dasar perumahan negeri, insentif pembangunan serta beberapa cadangan tapak yang sesuai untuk dimajukan.

"Pada masa sama, pihak UDA turut berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam pembangunan hartanah yang telah dilaksanakan sejak penubuhannya pada tahun 1971," katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi beliau baru-baru ini.

Wan Sukairi berkata, kerjasama berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek perumahan berkualiti dengan harga yang mampu dimiliki rakyat Terengganu.

"Insya-Allah, perbincangan ini merupakan langkah awal ke arah hubungan strategik yang lebih kukuh antara kedua-dua pihak bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati kediaman yang selesa dan berkualiti," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi UDA Holdings Berhad, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini serta seluruh warga UDA atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan sepanjang kunjungan tersebut.


Tag :

Artikel Berkaitan