Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Terus Martabat Seni Khat, Pelihara Warisan Islam
Terengganu Terus Martabat Seni Khat, Pelihara Warisan Islam
Adli Mohamad
11 jam yang lepas
151

KUALA TERENGGANU, 21 September – Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Terengganu (PIKAT) terus memperkukuh usaha memartabatkan seni khat dan kaligrafi Islam sebagai warisan yang mempunyai nilai pendidikan, budaya dan keagamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerajaan negeri komited memastikan identiti kesenian Islam itu terus dipelihara dan berkembang di Terengganu.

“Festival ini membuktikan bahawa Terengganu kekal menjadi hab pemeliharaan warisan Islam yang dinamik.

“Melalui pameran, bengkel dan pertandingan yang diadakan, kita berjaya mendekatkan generasi muda dengan keindahan kalamullah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Satiful berkata, seni kaligrafi Islam atau seni khat bukan sekadar hasil seni yang mempunyai nilai estetika, malah mencerminkan ketinggian tamadun Islam serta menjadi medium dalam pemeliharaan wahyu Allah SWT.

“Bagi negeri Terengganu, seni khat mempunyai nilai sejarah yang sangat mendalam dan tidak boleh dipisahkan.

“Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 Masihi adalah bukti nyata coretan khat terawal yang menjadi titik mula tulisan Jawi dan penyebaran Islam di Nusantara,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan