lightning-solid
Berita :
TI Properties Perkasa Tanggungjawab Sosial, Berjaya Kumpul 108 Beg Darah
TI Properties Perkasa Tanggungjawab Sosial, Berjaya Kumpul 108 Beg Darah
Mastura Jamal Din
16 jam yang lepas
162

KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan pendermaan darah terus terserlah apabila Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) "Setitis Kebaikan, Hadiah Kehidupan" anjuran TI Properties Sdn. Bhd. (TI Properties) berjaya mengumpulkan sebanyak 108 beg darah bagi menampung keperluan bekalan darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Program yang berlangsung di Elysium, Menara Utara, Kuala Terengganu Drawbridge itu dianjurkan dengan kerjasama Tabung Darah HSNZ sebagai usaha membantu memastikan bekalan darah hospital sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad berkata, kejayaan mengumpulkan 108 beg darah mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dalam menjayakan usaha murni yang mampu menyelamatkan nyawa.

Menurut beliau, program berkenaan juga membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

"Program ini bukan sekadar membantu menambah bekalan darah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah sebagai satu amalan mulia yang boleh menyelamatkan nyawa.

"Pemilihan Kuala Terengganu Drawbridge sebagai lokasi penganjuran turut memberikan pengalaman berbeza kepada para penderma apabila mereka berpeluang menikmati panorama enam landskap geografi dari aras menara Drawbridge selepas selesai menderma darah," katanya.

Program tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Paya Bunga Hotel, The Grand Puteri Hotel, McDonald's Malaysia, The Langit Duyong Marina Resort, Hospital Pakar SALAM, Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Aijifixmobile serta Beyco Resources yang tampil menaja pelbagai keperluan sepanjang penganjuran.

Pada masa sama, TI Properties turut membuka peluang kepada vendor komuniti seperti Produk Warna-warni, Artcade (Loco Bros) dan Mama Care untuk menyertai program tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pembangunan ekonomi usahawan tempatan.

Awasi berkata, tanggungjawab sosial korporat tidak seharusnya terhad kepada pemberian sumbangan semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan kepada usaha membina ekosistem ekonomi yang mampan kepada komuniti setempat.

Beliau berkata, pendekatan itu diyakini mampu memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada masyarakat selain menyokong agenda pembangunan inklusif negara.

"TI Properties merakamkan penghargaan kepada semua penderma, rakan strategik dan penaja yang bersama-sama menjayakan program ini. Kejayaan mengumpulkan 108 beg darah membuktikan semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat masih utuh dalam membantu golongan yang memerlukan," katanya.

 


Tag :

Artikel Berkaitan