Berita :
Tiga Metrik Tan Ikan Mati Akibat Fenomena Air Surut, Penternak Rugi RM60,000
Tiga Metrik Tan Ikan Mati Akibat Fenomena Air Surut, Penternak Rugi RM60,000
Hidayah Azlin
10 jam yang lepas
94


SETIU, 28 April – Segolongan penternak ikan sangkar di Gong Batu, di sini, berdepan detik sukar apabila kira-kira tiga metrik tan hasil ternakan mereka mati mengejut akibat fenomena penurunan paras oksigen terlarut (DO) yang mendadak, awal pagi semalam.


Kejadian yang berlaku kira-kira waktu dinihari pada 27 April itu melibatkan beberapa spesies ikan komersial termasuk siakap merah, siakap putih, tilapia dan kerapu hibrid dengan anggaran kerugian mencecah lebih RM60,000.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, bencana tersebut berpunca daripada fenomena air pasang dan surut yang bertembung pada waktu malam.


Menurut beliau, pemeriksaan mendapati paras oksigen terlarut dalam air di kawasan terlibat jatuh ke tahap kritikal iaitu 0.9 mg/l, berbanding paras normal yang sepatutnya berada pada 5 mg/l.


"Pada waktu malam, persaingan keperluan oksigen atau biological oxygen demand (BOD) adalah tinggi antara hidupan. Kerana itu, kesan kejatuhan oksigen menjadi lebih ketara pada waktu malam berbanding siang," katanya. 
Beliau berkata demikian selepas menyantuni para penternak di sangkar ikan Gong Batu, Permaisuri. 


Beliau menjelaskan bahawa penternak sebenarnya telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan peniu  oksigen (oxygen blower), namun kejadian yang berlaku tanpa disedari pada waktu dinihari itu menyebabkan bantuan teknikal tersebut tidak mencukupi untuk menyelamatkan ternakan.


Mengulas lanjut mengenai nasib penternak yang terjejas, Dr. Azman memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan berpeluk tubuh dan akan menghulurkan bantuan sewajarnya.


"Kerajaan Negeri menyediakan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu untuk menyantuni kes-kes bencana seperti ini. Ini adalah risiko yang perlu dihadapi oleh penternak akuakultur yang sentiasa terdedah kepada bencana alam," tambah beliau.


Beliau turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar para penternak terlibat terus cekal menghadapi ujian tersebut serta berharap agar ada rezeki pengganti yang lebih baik di masa hadapan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan