KUALA TERENGGANU, 14 Jun - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu sedang meneliti tindakan undang-undang lebih tegas, termasuk membawa kes ke mahkamah terhadap pemilik kenderaan yang didapati menyewakan motosikal atau kereta kepada warga asing untuk digunakan di jalan raya.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, setakat ini pihaknya bukan sahaja mengeluarkan kompaun kepada pemilik kenderaan terlibat, malah sedang mengkaji penggunaan peruntukan di bawah Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan bagi membolehkan tindakan mahkamah diambil.
Menurutnya, JPJ akan membuat semakan terhadap kesalahan berulang selain mengenal pasti pemilik yang mempunyai jumlah kenderaan tinggi, khususnya kenderaan yang pernah disita oleh pihak berkuasa.
“Kita akan membuat semakan terhadap kesalahan berulang serta mengenal pasti pemilik yang mempunyai jumlah kenderaan yang tinggi dan kebanyakannya pernah disita oleh JPJ.
“Hasil pemantauan mendapati terdapat beberapa individu tertentu yang secara konsisten memiliki sejumlah besar motosikal dan kenderaan yang kemudiannya disewakan kepada warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Ops Khas PEWA Rohingya 2026 di Pejabat JPJ Terengganu, di sini hari ini.
Zamri berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu tidak semestinya melibatkan sindiket terancang, sebaliknya dipercayai dilakukan oleh individu perseorangan yang menjadikan penyewaan kenderaan kepada warga asing sebagai sumber pendapatan.
Katanya, kebanyakan warga asing yang ditahan mendakwa mereka menggunakan kenderaan milik “bos” masing-masing, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada individu terbabit benar-benar majikan atau hanya penyewa kenderaan kepada pekerja asing.
“Jika individu berkenaan adalah majikan yang menggajikan mereka, kita juga akan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa agensi berkenaan.
“Namun ada juga kes di mana individu tersebut hanya dilabel sebagai bos sedangkan mereka sebenarnya menyewakan sejumlah besar kenderaan kepada warga asing,” katanya.
Menurut Zamri, trend berkenaan dapat dikesan dengan jelas terutama di beberapa kawasan termasuk Kemaman dan Besut, selain lokasi lain di seluruh Terengganu.
Beliau berkata, berdasarkan peraturan semasa, warga asing tertentu termasuk pemegang kad pelarian tidak dibenarkan memiliki aset atau kenderaan sendiri.
Namun, katanya, terdapat amalan menyewa atau meminjam kenderaan daripada warga tempatan dengan bayaran tertentu.
Lebih membimbangkan, Zamri berkata terdapat pemilik yang membeli semula motosikal yang telah disita dan dilelong oleh JPJ sebelum menyewakannya kembali kepada warga asing.
“Keadaan ini mewujudkan satu ekosistem yang tidak sihat dan menyumbang kepada pelanggaran undang-undang secara berterusan.
“Isu ini bukan hanya melibatkan warga asing, tetapi turut membabitkan segelintir warga tempatan yang mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan,” katanya.
Sehubungan itu, JPJ Terengganu akan terus memperketatkan penguatkuasaan dan meneliti langkah perundangan yang lebih berkesan bagi mengekang kegiatan tersebut demi keselamatan pengguna jalan raya.
Tag :